English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Kenyataan Media SPAN Mengenai NRW Adalah Mengelirukan dan Bertentangan dengan Penstrukturan Semula Industri Air Negara yang Digariskan oleh Kerajaan Persekutuan

SIARAN MEDIA
TARIKH: 8 JANUARI 2012 (AHAD)

KENYATAAN MEDIA SPAN MENGENAI AIR TIDAK TERHASIL (NRW) ADALAH MENGELIRUKAN DAN BERTENTANGAN DENGAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR NEGARA YANG DIGARISKAN OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menolak beberapa penjelasan yang diberikan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang boleh dirujuk oleh orang ramai pada laman web mereka.

SPAN telah ditubuhkan untuk mencegah industri perkhidmatan air daripada mengalami kegagalan disebabkan oleh prestasi tidak memuaskan, masalah kewangan dan nilai Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water – NRW) yang tinggi. Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta SPAN) telah menggariskan fungsi suruhanjaya ini dengan jelas. Seksyen 15 (d) menyatakan bahawa SPAN perlu menambah usaha bersepadu ke arah meningkatkan kecekapan pengendalian industri perkhidmatan air dan secara khususnya pengurangan Air Tidak Terhasil melalui program-program jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Ini turut disokong oleh Seksyen 15 (b) dan (c).

Jika SPAN tidak dapat menyediakan ‘Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan’ seperti yang dicadangkan oleh  AWER,  bagaimana mereka dapat menjalankan fungsi mereka yang ditetapkan dalam Seksyen 15 (d)? Jika tidak ada sasaran spesifik yang ditetapkan bagi setiap negeri, apa yang SPAN ingin capai? Garis panduan teknikal, piawaian (standard) dan perancangan yang holistik adalah sebahagian daripada fungsi-fungsi SPAN dan mereka tidak boleh melepaskan tugas ini kepada operator perkhidmatan air (syarikat air) untuk melakukannya. SPAN telah ditubuhkan untuk mengurangkan NRW seperti yang termaktub dalam Akta SPAN. Ini dikukuhkan lagi oleh Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) di mana semua industri perkhidmatan air perlu mematuhinya kecuali di Sabah dan Sarawak. Seksyen 29, 36, 41, 132, 134, 135, 138, 139, 177, 178, 179, 180 dan banyak lagi bahagian-bahagian dalam WSIA memberi kuasa langsung kepada SPAN dalam menjalankan fungsinya.

Sebagai contoh, penggawalan tekanan air adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh syarikat air pada waktu permintaan bukan-puncak (non-peak demand). Tetapi disebabkan oleh masalah NRW, terdapat kawasan-kawasan dalam sistem paip yang boleh menyedut air dari luar sistem perpaipan dan mencemarkan air yang telah dirawat. Ini juga adalah berdasarkan prinsip Bernoulli. Sebagai pengawalselia teknikal, SPAN perlu menetapkan prosedur dan garis panduan untuk memastikan kualiti air terawat tidak terjejas. Bagi merealisasikan ini, SPAN perlu menyediakan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan dan mesti tidak boleh membiarkan syarikat air untuk memberitahu SPAN apa yang perlu dilakukan.

Contoh kedua, semua paip dan meter ditebus(dibayar) melalui tarif. Semasa penggantian paip dan meter serta kerja-kerja baikpulih kebocoran lain, banyak bahan-bahan berasaskan polimer dan logam akan digantikan. Kos mengalihkan bahan-bahan ini adalah sebahagian daripada kos penyelenggaraan. Bahan-bahan ini mempunyai nilai ekonominya. Di bawah WSIA, segala kos yang dipulih perlu dikira semula dalam penetapan tarif. Ia bukan keuntungan langsung untuk industri. Apa yang telah berlaku kepada kos-kos pemulihan bahan-bahan ini? Berapa banyak wang yang telah diperoleh oleh syarikat-syarikat air setakat ini? Adakah SPAN mempunyai maklumat ini kerana mereka mempunyai kuasa di bawah WSIA untuk mendapatkan perangkaan ini?

Kenyataan media SPAN juga menyebut bahawa nilai sasaran NRW akan dikaji semula dari semasa ke semasa selepas penstrukturan semula industri perkhidmatan air selesai. Ini hanya membuktikan kaedah operasi mereka adalah secara ad-hoc. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara telah mengalami kelewatan dan sepatutnya siap dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-9 (tahun 2006 - 2010). Kelewatan ini kini 'berjaya' memasuki tahun kedua. Orang ramai boleh membaca penerbitan kami bertajuk, "Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara - Hakikatnya" di laman www.awer.org.my untuk maklumat lebih lanjut mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air dan hak-hak mereka sebagai pengguna.

Pengerusi dan ahli-ahli SPAN mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap fungsi-fungsi yang diamanahkan kepada mereka dan bukan hanya memberikan alasan. AWER akan menulis secara rasmi kepada YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan ini yang dikeluarkan oleh SPAN. Sebagai seorang peguam yang berkelayakan dan menteri yang bertanggungjawab, AWER percaya beliau akan dapat melaksanakan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Seksyen 18 seperti yang termaktub dalam Akta SPAN untuk mengarahkan SPAN supaya menjalankan fungsinya dengan sewajarnya.

Setiap titik air amat bernilai.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies