English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Malaysia Tidak Patut 'Kowtow' kepada Pembohongan 'Hijau'

SIARAN MEDIA - TARIKH: 3 DISEMBER 2012 (ISNIN)

MALAYSIA TIDAK PATUT 'KOWTOW' KEPADA PEMBOHONGAN 'HIJAU'

Perubahan iklim telah menetapkan satu pentas baru bagi dunia untuk memaparkan baka teknologi yang baru di mana ia didakwa adalah mesra alam atau lebih biasa dikenali sebagai 'hijau'. Adakah produk-produk ini sebenarnya menepati dakwaan mereke atau pengguna di Malaysia sedang diperdaya? Adakah kita terpaksa 'Kowtow' kepada pembohongan hijau?

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan satu kajian bagi produk lampu di Malaysia dengan tumpuan kepada program penghentian penggunaan mentol pijar (berfilamen) yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun 2010. Sebanyak 39 sampel lampu kalimantang termampat (Compact Fluorescent Lamp - CFL, yang telah dicadangkan oleh kerajaan sebagai penganti kepada mentol pijar) dan teknologi lampu lain seperti lampu kalimantang, mentol halogen dan mentol Diod Pemancar Cahaya (LED) telah dikaji untuk mengenalpasti masalah dalam teknologi pencahayaan.

Satu laporan bertajuk 'Tukar Dengan Betul' telah diterbitkan pada 16 Oktober 2012 oleh AWER untuk mengutarakan isu-isu berkaitan dengan program penghentian penggunaan mentol pijar di Malaysia. Laporan ini boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina di www.awer.org.my dan www.click.org.my. Versi tambahan laporan ini yang dikenali sebagai Laporan Khas hanya boleh didapati di www.click.org.my. Laporan Khas mengandungi keputusan ujian, penilaian dan label-label spesimen yang diuji.

Pada Jumaat lepas (30 November 2012), Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah mengumumkan bahawa jika kerajaan menukar semua lampu kepada lampu LED, kerajaan akan menjimatkan sebanyak RM 800 juta setahun daripada  RM 2.7 bilion kos elektrik tahunan kerajaan (tidak termasuk badan-badan berkanun). Walau bagaimanapun, kenyataan ini adalah meragukan, mengaburkan dan mengelirukan.

Penggunaan Tenaga Bagi Sebuah Bangunan Komersial Tipikal di Malaysia

Kebanyakan pejabat atau bangunan komersial di Malaysia mempunyai penyaman udara dan sistem pengudaraan (ventilation). Ini dilihat sebagai salah satu faktor utama penggunaan elektrik. Secara umumnya, penggunaan tenaga elektrik untuk pejabat boleh dibahagikan kepada penyejukan dan pengudaraan (60%), pencahayaan (20%), peralatan pejabat dan lain-lain (20%). Dalam senario kes terburuk, pencahayaan boleh mencapai kira-kira 30% daripada jumlah penggunaan elektrik. Kenyataan KeTTHA untuk mengurangkan sebanyak  RM 800 juta penggunaan elektrik untuk pencahayaan Kerajaan Persekutuan adalah bersamaan dengan menutupkan semua lampu!

Pembohongan 'Hijau' dan Pencahayaan

Kesatuan Eropah dan banyak negara lain sedang menghentikan secara berperingkat penggunaan mentol tidak cekap tenaga seperti mentol pijar dan mentol halogen serta menggantikannya dengan mentol CFL dan LED. Sebarang perbandingan penjimatan kos untuk CFL dan LED yang telah diberikan adalah berbanding dengan mentol pijar SAHAJA. TIADA program global untuk menghentikan penggunaan lampu kalimantang yang telah menjadi sebahagian daripada pencahayaan sektor domestik, komersil dan industri di Malaysia! Adakah pegawai KeTTHA hidup dalam alam ajaib mereka sendiri?

Pada masa ini, kebanyakan pejabat-pejabat kerajaan menggunakan lampu kalimantang untuk pencahayaan. Lampu kalimantang mempunyai teknologi yang serupa dengan CFL tetapi ia adalah lebih baik dari segi output kecerahan dan jangka operasi. Kebelakangan ini, balast konvensional yang digunakan dalam lampu kalimantang digantikan dengan balast elektronik. Ini telah meningkatkan lagi kecekapan tenaga lampu kalimantang.

Jadual 1: Perbandingan kos pencahayaan bagi kawasan 10 kaki x 26 kaki dengan menggunakan Lampu Kalimantang, CFL dan LED

Perkara Teknologi Pencahayaan
Lampu Kalimantang
(18W)
CFL
(11W)
LED
(11W)
Kuasa (Watt / W) 28 11 11
Jumlah lampu yang diperlukan 2 6 6
Anggaran jumlah Kuasa (Watt / W) 56 66 66
Tempoh Penggunaan (8 jam sehari untuk 240 hari) 1920 jam 1920 jam 1920 jam
Jumlah penggunaan tenaga elektrik (kWj)  107.52 126.72 126.72
Jumlah kos tenaga elektrik (RM) (A) * 42.26  49.80  49.80
 Anggaran Pelaburan Pertama (RM) (B) 50.00
(RM 25 x 2)
90.00
(RM 15 x 6)
 480
(RM 80 x 6)
Jumlah kos = A + B (RM) 92.26  139.80 529.80
Penjimatan berbanding lampu kalimantang (RM) - Kerugian
47.54
Kerugian
437.54
Penjimatan berbanding lampu kalimantang (%) - Kerugian
51.53 %
Kerugian
474.25 %
Pelepasan karbon (kg CO2 bersamaan) ** 72.04 84.90 84.90
Peningkatan pelepasan karbon berbanding lampu kalimantang (%) - 17.85 17.85

*Tarif terendah bangunan komersil adalah 39.3 sen per kWj
**1kWj melepaskan 0.67 kg CO2 bersamaan

Jadual 1 menunjukkan perbandingan menggunakan teknologi pencahayaan yang berbeza untuk menyalakan kawasan seluas 10 kaki x 26 kaki. Apabila lampu kalimantang digantikan dengan mentol CFL atau LED, mentol CFL atau LED ini diperlukan dalam kuantiti yang lebih banyak untuk mencapai output kecerahan lampu kalimantang. Ini akan meningkatkan kos pelaburan, kos operasi dan kesan pelepasan karbon sebenar. Lampu kalimantang boleh mencapai jangka hayat operasi yang panjang di antara 6000 jam hingga 60,000 jam bergantung pada pembuatan, keadaan operasi dan jenis litar kawalan. Sekarang, adakah kita menjadi 'hijau' atau wang cukai rakyat dirompak melalui dasar KeTTHA?

Isu-isu berkaitan dengan Pencahayaan yang 'Hijau'

Maklumat Produk yang Meragukan - Maklumat tentang produk biasanya diterbitkan pada bungkusan produk atau risalah tambahan yang diletakkan di dalam bungkusan. Malangnya, pelbagai produk telah membanjiri pasaran dan mewujudkan kekeliruan di kalangan pengguna. Sebagai contoh, jika satu produk CFL mendakwa bahawa ia boleh beroperasi selama 8,000 jam, apakah maksud nilai ini? Jika anda menggunakan mentol ini untuk 6 jam sehari, jumlah tahun operasi ialah 3 tahun dan 237 hari. Jika anda menggunakan mentol tersebut lebih lama setiap hari, tahun operasi akan menjadi lebih singkat. Jadi, berhati-hati dengan dakwaan pada bungkusan produk.

Kualiti Produk & Harga - Disebabkan permintaan CFL dan LED yang memuncak di seluruh dunia, kualiti produk untuk memenuhi permintaan akan sentiasa menjadi satu isu. Di Malaysia, terdapat banyak kes di mana CFL 'berjenama' tidak mampu beroperasi melebihi setahun. Apakah jaminan yang pengilang boleh memberi kepada pengguna untuk memastikan kualiti produk dikekalkan di samping memenuhi permintaan?

Di samping itu, terdapat juga unsur kartel dan pencatutan (profiteering) dalam kos produk pencahayaan seperti CFL dan LED di mana kerajaan paling mungkin akan menjadi seperti jejak selut kaki terbenam jika cadangan KeTTHA untuk beralih kepada CFL atau LED dilaksanakan. AWER akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat isu kartel dan pencatutan. MyCC sebenarnya telah memberikan sambutan yang positif terhadap hasil kajian dalam laporan 'Tukar Dengan Betul'.

Pegawai-Pegawai KeTTHA Tidak Mengendahkan Perintah Ketua Setiausaha

Pada 18 Oktober 2012, Ketua Setiausaha KeTTHA telah mengarahkan orang bawahan beliau untuk mengatur satu perjumpaan dengan AWER secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah yang dikenalpasti dalam laporan 'Tukar Dengan Betul'. Sehingga kini, pegawai-pegawai ini tidak mengendahkan arahan ini dan pengumuman baru-baru ini mungkin memberikan petunjuk mengapa mereka bersikap pekak badak. Keadaan di sektor tenaga KeTTHA kini adalah serupa, kalau tak ada api, masakan ada asapnya terutamanya apabila belanjawan dan tender yang besar akan terlibat.

Kesimpulan

AWER menggesa Kementerian Kewangan untuk menolak cadangan yang tidak munasabah ini dan melaksanakan langkah-langkah kecekapan tenaga yang betul. Kami juga menyeru kepada KeTTHA untuk menimba ilmu pengetahuan yang betul dan tepat serta tidak mengelirukan orang ramai dan perniagaan apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berkaitan dengan teknologi kecekapan tenaga.

"Dua perkara tiada hadnya: alam semesta dan kebodohan manusia; dan saya tidak pasti tentang alam semesta - Albert Einstein (Two things are infinite: the universe and human stupidity; and I'm not sure about the universe - Albert Einstein)"

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies