English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Laksanakan Penstrukturan Semula Industri Air Selangor dan Langat 2 Dengan Selari

SIARAN MEDIA - DATE: 13th DISEMBER 2012 (KHAMIS)

LAKSANAKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR DAN LANGAT 2 DENGAN SELARI

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin menegaskan bahawa penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara tidak dapat dielakkan. Ia juga sama penting bagi orang ramai dan perniagaan sedar akan kekuatan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) sepenuhnya. Sebarang percubaan untuk melambatkan atau mengubah pelaksanaan model WSIA akan memesong Malaysia jauh daripada pembangunan. Walau bagaimanapun, AWER akan sentiasa memantau pelaksanaan model WSIA untuk mengelakkan ia daripada tergelincir dari pelaksanaan yang sepatutnya. Kami juga menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk berhenti menyalahkan antara satu sama lain dan mengkaji penyelesaian untuk Industri Perkhidmatan Air Selangor secara konstruktif. Rakyat yang perlu dilindungi!

Penyelesaian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor

Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu memiliki 100% kepentingan untuk membuat keputusan dalam SYABAS atau mana-mana syarikat-syarikat perawatan air. Jumlah kepentingan yang melebihi 51% akan membolehkan kerajaan negeri Selangor untuk membuat keputusan serta mengorak langkah bagi mengakhiri perjanjian konsesi di Selangor. Bagaimana ini boleh dicapai?

Dalam 'bailout' bon air Selangor yang berjumlah RM 5.8 billion, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil alih kepentingan dari mana-mana pemegang perjanjian konsesi yang bersamaan dengan jumlah 'bailout'. Sekarang, Kerajaan Persekutuan MESTI mengambil alih kepentingan yang sama dengan nilai bailout bon dan memindahkannya kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui pendekatan 'ringan - aset' (asset-light) WSIA dan memuktamatkan proses penstrukturan semula untuk menghentikan perjanjian konsesi.

Sebagai contoh, Indah Water Konsortium (IWK), sebuah syarikat swasta yang telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan pada 9 Disember 1993 untuk menguruskan perkhidmatan pembetungan 'bersambung'. Walau bagaimanapun, syarikat swasta ini tidak mampu menguruskan hutang dan memerlukan 'bailout' pada tahun 1999. Kerajaan Persekutuan telah 'bailout' IWK dan mengambil alih keseluruhan IWK.

Seksyen 191 (4) dan 191 (5) dalam WSIA menggariskan keperluan rundingan dan kuasa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk menggunakan 'Kepentingan Negara' dalam proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara. Berdasarkan Penyata Rasmi Dewan Rakyat (Hansard) DR.4.9.2006, Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan sebab-sebab IWK diambil alih dan ini boleh menjadi asas yang baik untuk menentukan 'Kepentingan Negara'.

Peluang keemasan ini telah sentiasa berada di hadapan kedua-dua pihak (KeTTHA dan Kerajaan Negeri Selangor). Mengapa masih terdapat kelewatan dalam penstrukturan semula? Kerajaan Persekutuan yang merancang model WSIA untuk mencegah sebarang jenis operasi KONSESI dalam industri perkhidmatan air. Kerajaan Negeri Selangor juga ingin membatalkan perjanjian konsesi. Ini matlamat yang sama dan merupakan faktor penyatuan yang perlu diterokai sepenuhnya!

Projek Loji Rawatan Air Langat 2

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mesti memastikan bahawa perjanjian tarif air mentah berdasarkan Kualiti Air Mentah mesti ditandatangani di antara Selangor, Pahang dan SPAN berbanding kadar tetap yang dicadangkan kini. Kerajaan negeri Pahang mesti mewartakan kawasan tadahan air utama dan sekunder yang membekalkan air mentah melalui projek pemindahan air mentah Pahang-Selangor sebagai hutan simpanan kekal bagi memastikan jaminan bekalan air mentah.

Tambahan pula, pihak mana yang akan menguruskan Loji Rawatan Air Langat 2 selepas selesai pembinaan? Jika kita merujuk kepada Loji Rawatan Air Sg. Labu yang baru dibinakan di Selangor, ia telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskannya. Ini juga merupakan amalan yang sama bagi semua negeri-negeri yang telah distruktur semula di bawah model WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006). Oleh itu, loji rawatan air Langat 2 mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk diuruskan selepas siap pembinaan.

Dalam isu ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan kerugian apa-apa. Model WSIA dengan pendekatan ringan-aset membolehkan pelaksanaan yang lebih telus dan orang awam serta perniagaan boleh menuntut kepada SPAN untuk meningkatkan ketelusan dalam industri perkhidmatan air.

Kejayaan dalam Proses Penetapan Tarif Secara Telus

Penetapan tarif yang telus adalah satu lagi kejayaan besar yang dicapai oleh AWER tahun ini bagi pelaksanaan WSIA. Ketua Setiausaha KeTTHA telah memberikan kelulusan kepada SPAN untuk menukar rangka kerja penetapan tarif secara telus kepada mekanisme yang berfungsi selepas AWER memberi tekanan berterusan melalui media serta secara langsung dengan KeTTHA untuk melaksanakan proses penetapan tarif yang telus bagi industri perkhidmatan air.

Kejayaan ini adalah pencapaian yang penting bagi kita di Malaysia kerana ia juga akan mengukuhkan lagi hujah AWER bahawa model WSIA adalah model bertaraf dunia yang boleh dicontohi oleh industri perkhidmatan air mana-mana negara membangun. AWER menantikan saat-saat untuk menyaksikan rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam proses penetapan tarif secara telus julung-julung kalinya di Malaysia. Ia adalah kemenangan untuk rakyat Malaysia!

Kesimpulan

Model WSIA akan menempatkan Malaysia dalam arus perdana dunia bagi model sosio-ekonomi industri perkhidmatan air. Kejayaan adalah hanya beberapa langkah dan kami berharap tidak ada pihak yang menghalang. Kami menggesa semua pihak yang berkepentingan untuk membaca penerbitan kami, 'Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara - Hakikatnya' di www.awer.org.my untuk memahami lebih lanjut tentang model WSIA dan faedah bagi Malaysia. Jangan mempolitikkan pelaksanaan model WSIA. Semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan model WSIA yang 'betul' dilaksanakan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negara.

Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan belum lagi distruktur semula di bawah model WSIA. Di samping itu, AWER mengalu-alukan kedua-dua Sabah dan Sarawak untuk menyertai rejim WSIA untuk menambahbaik industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri.

Pastikan jaminan air dicapai di Malaysia, jangan mempolitikkan WSIA.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

MAKLUMAT TAMBAHAN: INTIPATI UTAMA AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR 2006 (WSIA)

I. ‘Asset Light Model’ / Model Ringan-Aset - Penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah bertujuan supaya operator air memberikan keutamaan kepada kualiti air dan kualiti perkhidmatan. Beban modal, hutang (liabiliti), dan projek-projek pembangunan infrastruktur baru tidak akan ditanggung oleh operator. Tugas operator air adalah untuk mengoperasi, menyelenggara dan melaksanakan tugas utama mereka kepada rakyat dengan efisen, iaitu membekalkan air yang selamat dan bekalan air yang beterusan.

II. Menghalang segala jenis PERJANJIAN KONSESI pada masa hadapan - Perjanjian konsesi telah mewujudkan pelbagai isu dalam industri perkhidmatan air negara. WSIA tidak menggalakkan apa-apa jenis perjanjian konsesi. Melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), lesen operasi akan diberikan dengan Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index – KPI). Lesen-lesen ini hanya akan diperbaharui setiap 3 tahun dengan syarat operator air mematuhi KPI yang ditetapkan oleh SPAN.

III. Penguatkuasaan oleh SPAN - SPAN akan mengawal selia operator air yang dilesenkan dari segi perkhidmatan, teknikal dan keuntungan. Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia adalah syarikat yang dilesenkan oleh SPAN untuk pengurusan aset air. PAAB juga dikawal selia oleh SPAN dari segi perkhidmatan, teknikal dan keuntungan untuk melindungi kepentingan rakyat.

IV. ‘Full Cost Recovery’ / Pemulihan Kos Sepenuhnya - Sehingga kini, tanggungan liabiliti industri perkhidmatan air semakin meningkat. Ini menyebabkan banyak pembangunan infrastruktur dan teknologi air bagi menampung keperluan generasi akan datang terjejas. ‘Tanggungan Hutang’ ini jika tidak dibayar secara ansuran, kita sebenarnya akan membebankan anak-anak dan cucu-cicit kita. Gabungan ‘Asset Light Model’ dan ‘Full Cost Recovery’ bersama-sama akan menjamin kesejahteraan rakyat dan memastikan Jaminan Bekalan Air yang merupakan salah satu komponen penting dalam keselamatan negara.

V. Tarif air yang berpatutan & telus - SPAN akan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat. Kewujudan PAAB membantu meringankan beban hutang sambil meningkatkan taraf perkhidmatan industri air negara melalui pembangunan infrastruktur industri perkhidmatan air yang berterusan. Melalui WSIA pula, industri perkhidmatan air negara akan menjadi sebuah sektor ekonomi yang stabil dan tidak berorientasikan ‘keuntungan tinggi’ seperti sektor swasta. Pada masa akan datang, semua lapisan masyarakat juga boleh mengambil bahagian dalam proses penetapan tarif. Proses ini dipraktikkan melalui Model OFWAT dari United Kingdom yang menjadi asas penubuhan SPAN dan WSIA. Satu proses peralihan akan ditetapkan bagi membantu semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam pelarasan tarif secara berperingkat.

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies