English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Pemodelan Semula Situasi Krisis Air Bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

SIARAN MEDIA - 10 JANUAR1 2013 (KHAMIS)

PEMODELAN SEMULA SITUASI KRISIS AIR BAGI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan satu kajian pemodelan linear dengan 1% margin simpanan air terawat bagi Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya). Kajian ini telah mangambil kira kapasiti boleh-agih (distributable capacity) tambahan disebabkan pelaksanaan Projek Mitigasi Fasa 1 dan Fasa 2 oleh Kerajaan Persekutuan. Projek Mitigasi Fasa 1 dijangka meningkatkan kapasiti boleh-agih sebanyak 125 Juta Liter sehari (JLH) dengan kos RM 275 Juta di mana pelaksanaan dijalankan di antara tahun 2012 dan 2013. Projek Mitigasi Fasa 2 dijangka meningkatkan kapasiti boleh-agih sebanyak 371 JLH dengan kos RM 331dan pelaksanaan akan dijalankan di antara tahun 2013 dan 2015.

Kapasiti Boleh-Agih adalah jumlah air terawat yang boleh dibekalkan kepada pengguna. Margin Simpanan adalah kapasiti boleh-agih tambahan yang sedia ada selepas memenuhi permintaan bekalan air semasa. Margin simpanan akan membolehkan loji rawatan untuk memenuhi sebarang peningkatan permintaan secara tiba-tiba atau gangguan bekalan air yang tidak dijangkakan. Dalam pemodelan AWER, kami menggunakan margin simpanan 1% sebagai senario kes terburuk kerana margin simpanan yang ideal harus melebihi 10%. Margin simpanan 1% adalah untuk memenuhi permintaan gangguan bekalan jika paip pecah secara tiba-tiba atau disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan serta apa-apa keadaan yang di luar jangkaan.

Anggaran Situasi Krisis Air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

Jadual 1 menunjukkan peningkatan tahunan pengeluaran air terawat. Berdasarkan kajian permodelan AWER, purata peningkatan tahunan dalam pengeluaran air terawat adalah 2.09% dari tahun 2007 hingga 2011. Disebabkan peningkatan dalam kapasiti boleh-agih secara berperingkat-peringkat, senario kes terburuk (dengan margin simpanan 1%) berubah secara berkala dari tahun 2012 hingga 2015 seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.

Akhirnya, dengan semua pembolehubah (variables) ini, AWER menganggarkan bahawa krisis air mungkin berlaku di antara tahun 2014 dan 2020 (rujuk Jadual 3). Peningkatan permintaan air terawat tahunan sebanyak 2% akan menyebabkan krisis air berlaku pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, peningkatan permintaan air terawat tahunan di antara 3.5% dan 5.0% akan menyebabkan krisis air berlaku pada tahun 2016 dan 2014 masing-masing. Kami menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek mitigasi untuk mengelakkan krisis air sekiranya permintaan air meningkat secara mendadak yang melebihi 3.5%.

Jadual 1: Peningkatan Pengeluaran Air Terawat di Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya)

Tahun

Jumlah Pengeluaran

(JLH)*

Peningkatan Pengeluaran

(%)**

2011  4143 1.97
2010 4063 3.49
2009 3926 0.95
2008 3889 1.97
2007 3814 -

(JLH = Juta Liter sehari)
*Sumber: Malaysia Water Industry Guide & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
** dikira oleh AWER

 

Jadual 2: Kapasiti Boleh-Agih Dan Senario Kes Terburuk

Tahun

Kapasiti Boleh-Agih

(JLH)*

Kapasiti Boleh-Agih dalam Senario Kes Terburuk

(dengan Margin Simpanan 1%) (JLH)**

2012 4436  4391.64
2013 4645 4598.55
2014 4697 4650.03
2015 4947 4897.53
2016 4947 4897.53
2017 4947 4897.53
2018 4947 4897.53

*Sumber: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
** dikira oleh AWER

 

Jadual 3: Keputusan Kajian Permintaan Linear oleh AWER

Anggaran Peningkatan Permintaan Tahunan (%) Anggaran Tahun yang Mengalami Krisis Air
0.50 2045
1.00 2028
1.50 2023
2.00 2020
2.09 2020
2.50 2018
3.00 2017
3.50 2016
4.00 2014
4.50 2014
5.00 2014

 


Laksanakan Bidaan Terbuka Untuk Projek Mitigasi Fasa 1 dan Fasa 2

Berdasarkan beberapa laporan berita, adalah difahami bahawa semua loji rawatan air di Selangor tidak mempunyai meter untuk mengukur jumlah air terawat yang dihasilkan. Air terawat yang dihasilkan hanya diukur selepas Tangki Imbangan (Balancing Reservoir). Amalan ini tidak selaras dengan definisi Air Tidak Terhasil (NRW) di peringkat antarabangsa dan keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan untuk merekod nilai NRW yang sebenar. NRW boleh berlaku di antara loji perawatan air dan tangki imbangan dari segi limpahan. Ini adalah juga tidak adil kepada operator-operator air di negeri-negeri lain yang mengukur NRW mengikut definisinya secara betul.

Di samping itu, menurut Malaysia Water Industry Guide, SYABAS tidak menyediakan statistik yang berasingan bagi NRW di antara Selangor dan Kuala Lumpur. Statistik NRW berasingan adalah penting untuk memastikan pengenalpastian zon-zon kritikal yang mempunyai NRW yang tinggi. SYABAS perlu mengemukakan statistik NRW terperinci kepada SPAN dalam tempoh sebulan kerana pelan pengurangan NRW adalah sebahagian daripada Projek Mitigasi Fasa 2. Jika SYABAS tidak dapat menyediakan statistik ini, ia menunjukkan ketidakcekapan mereka dalam menguruskan sistem bekalan air. Tanpa statistik NRW yang terperinci, pelan pengurangan NRW akan membazir wang di mana kos ini akan dibayar melalui tarif atau wang cukai rakyat.

Disebabkan penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air Selangor masih dilengahkan, TIADA peruntukan kewangan harus diberikan kepada SYABAS. Model WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006) menggalakkan ketelusan dan semua projek-projek mitigasi MESTI dilaksanakan melalui proses bidaan terbuka untuk mengoptimumkan Perbelanjaan Modal (Capex). Ini adalah salah satu daripada langkah-langkah yang telah dikenalpasti dalam model WSIA untuk mengurangkan impak kos perkhidmatan air kepada tarif air. Kami menggesa SPAN untuk menggunakan kuasa pengawalseliaannya untuk memastikan semua projek dibida secara terbuka melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengumuman SYABAS Boleh Menyebabkan Panik

AWER juga menggesa SPAN untuk menyiasat pengumuman SYABAS bahawa krisis air di Lembah Klang khususnya di Ampang dan Cheras dijangka akan berterusan sehingga Tahun Baru Cina iaitu dalam tempoh sebulan. Ini adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab kerana SYABAS perlu mendapat kelulusan daripada SPAN sebelum membuat pengumuman sebegini. Selain daripada ini, pengumuman sebegini akan menyebabkan orang ramai berada dalam keadaan panik. Keadaan panik boleh meningkatkan penggunaan air kerana pengguna lebih cenderung untuk menyimpan lebih banyak air di rumah. Ini juga merupakan kali kedua SYABAS cuba untuk mewujudkan perasaan panik di kalangan pengguna. Jika kerja-kerja pembaikan dijalankan segera, bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam masa 1 minggu. SYABAS TIDAK PERLU menakut-nakutkan pengguna! AWER menggesa Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet mengenai Krisis Air Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadap SYABAS yang mempertaruhkan kesejahteraan rakyat.

Kesimpulan

Pembinaan loji rawatan air Langat 2 tidak boleh dielakkan kerana situasi Bekalan-Permintaan air terawat; ini adalah isu kejuruteraan semata-mata! Berdasarkan perangkaan rasmi dan kajian yang dijalankan, projek Langat 2 mesti dilaksanakan dengan telus. Kerajaan Persekutuan juga perlu mengumumkan maklumat mengenai impak kos projek Langat 2 kepada tarif air. Projek-projek mitigasi menelan perbelanjaan yang banyak dan akhirnya kos ini akan disalurkan kepada pengguna melalui tarif air atau wang cukai. Ini adalah tidak adil dan bukannya penyelesaian yang ekonomi untuk jangka masa panjang dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan yang mudah sebegini.

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengheret dan mempolitikkan isu ini. Kedua-dua pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor adalah berkewajipan untuk melindungi kepentingan rakyat. Kedua-dua pihak mesti bercakap berdasarkan fakta dan berhenti memutar-belitkan maklumat. Menggunakan isu air sebagai modal politik adalah perbuatan yang keji. SPAN juga mesti bertindak secara bebas tanpa pengaruh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam melaksanakan model WSIA yang telah diluluskan oleh Parlimen.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

 

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies