English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Kebuntuan Dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor - Soal Jawab

SIARAN MEDIA - 06th MAC 2013 (RABU)

KEBUNTUAN DALAM PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR SELANGOR - SOAL JAWAB

SOALAN 1: Apakah itu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN)?

JAWAPAN 1: Industri perkhidmatan air termasuk perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan. PSIPAN dilaksanakan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan air kerana pencapaiannya tidak memuaskan dan ia dilaksanakan bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja. Isu-isu yang berkaitan dengan struktur industri, ketelusan, kekurangan pembangunan infrastruktur, Air Tidak Terhasil (NRW), kegagalan dalam penswastaan (perjanjian konsesi) dan struktur kos (tarif) adalah sebab-sebab utama Kerajaan Persekutuan meyakinkan Majlis Raja-raja untuk meneruskan dengan pelaksanaan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). Akhirnya WSIA telah diluluskan oleh Parlimen dengan pindaan-pindaan dalam enakmen-enakmen negeri untuk memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan dalam Perawatan dan Bekalan Air yang sebelum ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri .

Untuk maklumat lebih lanjut tentang bagaimana model WSIA berfungsi, sila layari laman sesawang www.awer.org.my untuk memuat turun laporan bertajuk "Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara - Hakikatnya".

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 2: Adakah 'bailout' Bon Air Selangor selaras dengan PSIPAN dan  WSIA?

JAWAPAN 2: 'Bailout' Bon Air Selangor bernilai RM 5.8 Bilion adalah tidak selaras dengan WSIA kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil alih apa-apa kepentingan ekuiti yang bersamaan dengan jumlah 'bailout' daripada pemegang konsesi. AWER telah menulis kepada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berkali-kali mengenai perkara ini tetapi ia tidak diendahkan. Selain itu, apabila rakyat Malaysia membeli sebuah rumah dan tidak mempunyai aliran tunai yang cukup untuk membayar ansuran bulanan beliau, rumah akan dilelong oleh pihak bank. Apabila pemilik baru membeli rumah ini, kita tidak pernah mendengar bahawa pemilik baru membolehkan pemilik sebelumnya untuk terus memiliki rumah tersebut. Mengapa Kerajaan Persekutuan tidak menyelamatkan rakyat yang tidak boleh membayar ansuran pinjaman mereka tetapi dengan murah hati 'bailout' Bon Air Selangor?

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 3: Adakah kenyataan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bahawa beliau dan kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk bercampur tangan dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor adalah BENAR?

JAWAPAN 3: KeTTHA dan Kerajaan Persekutuan telah campur tangan dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor sejak awal lagi. 'Bailout' bon Industri Perkhidmatan Air Selangor yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan adalah campur tangan besar-besaran yang pertama. Campur tangan kedua ialah untuk mengelakkan membuka perjanjian konsesi air untuk tatapan orang ramai. Ketiga, Kerajaan Persekutuan telah campur tangan dengan memberi peruntukan langsung bernilai RM 726 Juta kepada SYABAS. Malah, selepas WSIA dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2008, tiada peruntukan boleh diberikan terus kepada syarikat-syarikat air. Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang perlu melaksanakan projek melalui tender terbuka. WSIA memberikan banyak ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan dalam industri perkhidmatan air untuk memastikan ia beroperasi pada kos yang optimum dan memberikan tarif yang saksama serta melindungi rakyat. Ini termasuk mengakhiri perjanjian konsesi!

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 4: Apakah peranan Kerajaan Negeri Selangor dalam penstrukturan semula?

JAWAPAN 4: Kerajaan negeri mesti menyatukan (consolidate) syarikat-syarikat perawatan air dan bekalan air untuk menstruktur semula industri. Ini boleh dilakukan oleh kerajaan negeri sendiri atau bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan syarikat-syarikat air. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menyatukan syarikat-syarikat air jika pemegang konsesi air menolak tawaran Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini yang berjumlah RM 9.65 Bilion. Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencuci tangan dalam perkara ini!

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 5: Apakah peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam penstrukturan semula?

JAWAPAN 5: SPAN adalah pengawal selia yang bertanggungjawab untuk melaksanakan model WSIA. Mereka mengawal selia industri perkhidmatan air (termasuk perkhidmatan pembetungan) serta PAAB dari segi teknikal, kualiti perkhidmatan dan keuntungan (ekonomi). Ini membolehkan SPAN untuk mengawal selia industri secara menyeluruh (holistik) dan memastikan tarif yang saksama serta bekalan air yang berterusan. SPAN ditubuhkan untuk beroperasi secara bebas dari KeTTHA dan sebarang campur tangan mesti dicegah. Pada masa ini, sektor perkhidmatan air KeTTHA banyak campur tangan dalam fungsi SPAN. Ini akan mewujudkan pengawal selia yang tidak bebas dan akhirnya akan membawa ke arah kegagalan besar dalam pelaksanaan PSIPAN.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 6: Apakah peranan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam penstrukturan semula?

JAWAPAN 6: PAAB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. PAAB dikawal selia oleh SPAN dan dilantik untuk menjadi badan pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur industri perkhidmatan air. PAAB adalah entiti sementara yang ditubuhkan untuk membolehkan industri perkhidmatan air untuk mencapai kedudukan kewangan yang lebih baik. Apabila kedudukan kewangan bertambah baik, PAAB akan dimansuhkan dan industri perkhidmatan air boleh membuat pinjaman terus dengan bank atau institusi kewangan lain.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 7: Kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 120 Juta kepasa SYABAS iaitu tambahan kepada peruntukkan RM 606 Juta yang sedia ada. Adakah ia betul dan selaras dengan WSIA?

JAWAPAN 7: Disebabkan proses penstrukturan semula masih berterusan di Selangor, Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam operasi SYABAS. Mana-mana projek kecemasan boleh dilaksanakan melalui tender terbuka oleh PAAB. Malangnya, Kerajaan Persekutuan sentiasa membantu SYABAS melalui pintu belakang sambil mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk campur tangan dalam proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air. Oleh yang demikian, SYABAS akan ingin terus beroperasi di bawah perjanjian konsesi kerana Kerajaan Persekutuan akan terus membantu. Dalam erti kata lain, syarikat mana akan mahu menyerahkan perjanjian konsesi apabila Kerajaan Persekutuan dengan bodohnya menggunakan wang cukai rakyat untuk menyokong kewujudan syarikat konsesi secara berterusan? Pembiayaan SYABAS secara langsung tidak selaras dengan WSIA yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan mesti mengamalkan apa yang mereka tetapkan dalam WSIA!

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 8: Adakah pulangan 12% ke atas ekuiti yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah sesuatu yang munasabah dalam tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 Bilion baru-baru ini?

JAWAPAN 8: Jika kita memerhatikan tindak balas daripada pemegang konsesi, terutamanya Puncak Niaga, mereka meminta "penjelasan tambahan" untuk membazir masa dan melambatkan penstrukturan semula. Ia adalah strategi yang sama digunakan berulang kali sejak tahun 2008. Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor, AWER berpendapat pulangan 12% atas ekuiti adalah tawaran yang sangat baik berbanding dengan semua tawaran sebelumnya. Ini adalah kerana risiko pelaburan dalam industri perkhidmatan air adalah sangat rendah. Maka, tawaran daripada Kerajaan Negeri Selangor boleh dibandingkan sama dengan pulangan deposit tetap (fixed deposit) oleh bank. Kini, pulangan deposit tetap adalah sekitar 4% dan Kerajaan Negeri Selangor menawarkan 3 kali apa pemegang konsesi sepatutnya dapat. Jika pemegang konsesi meminta lebih, ia adalah 'kelanunan' tulen. Jika pemegang Saham Emas (Kerajaan Persekutuan) menyokong untuk pulangan yang lebih tinggi ke atas ekuiti, maka mereka akan menyokong LANUN-LANUN dan bertindak bertentangan dengan WSIA.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 9: Bagaimanakah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan kebuntuan dalam penstrukturan semula industri air Selangor?

JAWAPAN 9: Jika tawaran pengambilalihan baru-baru ini yang bernilai RM 9.65 Bilion oleh Kerajaan Negeri Selangor ditolak oleh pemegang konsesi, AWER mempunyai cadangan untuk Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk menamatkan perjanjian konsesi air Selangor.

Pertama sekali, Kerajaan Persekutuan mesti mengambil alih kepentingan ekuiti yang sama dengan nilai 'bailout' bon air Selangor (RM 5.8 Bilion). Kemudian, kepentingan ini boleh diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk melengkapkan proses penstrukturan semula. Ini adalah cara mudah bagi Kerajaan Persekutuan untuk meyelesaikan kebuntuan dengan Kerajaan Negeri Selangor dan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan air Selangor jika kedua-dua pihak masih serius dalam melindungi kepentingan rakyat.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 10: Apakah kesan kepada rakyat dan peniagaan jika penstrukturan semula industri air Selangor lewat?

JAWAPAN 10: Kos adalah kesan terbesar. Jika kita mengambil pandangan mikro bagi ekonomi di seluruh Asia Tenggara, negara-negara ASEAN sedang melalui pembangunan pesat dan akhirnya akan membangunkan infrastruktur perkhidmatan air untuk menarik lebih Pelaburan Langsung Asing (FDI). Perkhidmatan air yang baik adalah prasyarat untuk membangunkan ekonomi tempatan di mana-mana negara. Ini akan meletakkan permintaan yang tinggi bagi komponen infrastruktur air berasaskan logam, polimer dan bahan mentah lain serta meningkatkan kos pembinaan infrastruktur baru di seluruh rantau ASEAN. Kelewatan penstrukturan semula industri perkhidmatan air akan meningkatkan kos masa depan pembangunan infrastruktur serta kehilangan pendapatan disebabkan oleh Air Tidak Terhasil (NRW). Semua kos ini akan disalurkan terus kepada tarif.

Kelewatan dalam melaksanakan WSIA pasti akan memberi kesan ekonomi yang buruk kepada mana-mana negeri. AWER telah berkali-kali menyampaikan mesej ini kepada semua pihak yang berkaitan. Malangnya, mereka hanya terlalu sibuk mempolitikkan isu penstrukturan semula.

KESIMPULAN

AWER menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengikuti pelaksanaan WSIA yang sebenar. Kami juga ingin mencadangkan kedua-dua pihak untuk mengadakan mesyuarat terbuka yang boleh disaksikan oleh orang ramai melalui media dan perkhidmatan atas talian (online). Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana wakil-wakil rakyat mereka dan kakitangan kerajaan (dibayar melalui wang cukai) bekerja. Apabila seseorang dibayar untuk bekerja, dia perlu menyampaikan output dan bukan mengelirukan rakyat yang merupakan bos sebenar. Kerajaan Persekutuan memulakan pelaksanaan WSIA untuk melindungi kepentingan awam, dan AWER menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mendukung janji-janji yang dibuat dalam WSIA. Janji MESTI Ditepati!


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies