English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Peningkatan Kos Bahan Api Memerlukan Penyelesaian Jangka Masa Panjang

03 September 2013-SURAT KEPADA PENGARANG

Peningkatan Kos Bahan Api Memerlukan Penyelesaian Jangka Masa Panjang

YAB Perdana Menteri telah mengumumkan rasionalisasi subsidi untuk memastikan kedudukan kewangan negara adalah dalam keadaan baik. Pengumuman ini dan rasionalisasi subsidi selanjutnya boleh dilihat sebagai penyelesaian kewangan untuk mengurangkan defisit negara kita. Akan tetapi, adakah kita benar-benar menangani implikasi-implikasi bagi rakyat dan perniagaan dalam jangka masa panjang?

Berdasarkan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2011, permintaan tenaga akhir direkodkan sebanyak 17070 kilo tan bersamaan minyak (ktoe) bagi sektor pengangkutan. Ini adalah 39.3% daripada jumlah permintaan tenaga akhir bagi tahun 2011. Dari tahun 2009, permintaan tenaga dalam sektor pengangkutan telah meningkat dengan kadar yang tinggi daripada sektor industri. Ini bukanlah satu penggunaan sumber tenaga yang bijak. Negara-negara berpopulasi tinggi seperti Amerika Syarikat telah merekodkan 27.8% (2011 ), Jepun merekodkan 25% (2009 ) dan Eropah merekodkan 31.7 % (2010) dalam penggunaan tenaga bagi sektor pengangkutan. Dalam aspek ini, peruntukan penggunaan tenaga bagi sektor pengangkutan di Malaysia adalah tidak betul dan tidak selaras dengan negara-negara maju seperti yang kita ingin capai.

Secara teknikal, dua perkara yang sebenarnya boleh mengurangkan kesan rasionalisasi subsidi dengan lebih berkesan sentiasa ditinggalkan. Penyelesaian-penyelesaian ini juga akan membantu dalam peruntukan guna sumber tenaga yang betul.

Pertama sekali, pengangkutan awam adalah cara yang paling berkesan untuk menangani kenaikan harga bahan api dan penggunaan tenaga untuk sektor pengangkutan. Pada masa ini, kita jauh dari mencapai satu sistem yang diingini.

Keduanya, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) melihat keperluan untuk Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS ) dan pelabelan kecekapan tenaga mandatori untuk kenderaan bagi kedua-dua kegunaan peribadi dan komersial. Isu ini telah dibangkitkan oleh pihak AWER banyak kali. Malangnya, ia tidak diendahkan sehingga kini.

Kesatuan Eropah, Jepun dan Korea Selatan telah memulakan sistem ini (pelaksanaan MEPS dan pelabelan kecekapan tenaga) sekian lama untuk memastikan rakyat mereka hanya membeli kenderaan yang cekap tenaga. Mekanisme pelabelan ini akan membolehkan rakyat Malaysia membeli kenderaan yang cekap dalam penggunaan bahan api dan membantu mereka menjadi lebih mesra alam. Kaedah ini juga akan membantu rakyat dalam mengurangkan impak kos bahan api yang tinggi dalam jangka masa panjang. Ini juga akan membantu untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan.

Berdasarkan kajian kami, kebanyakan negara yang mempunyai MEPS atau pelabelan kecekapan tenaga akan meningkatkan keperluan pelabelan secara berkala. Apabila ini berlaku, negara-negara seperti Malaysia akan menerima produk yang kurang cekap tenaga kerana ia tidak boleh dijual di negara mereka. Jadi, kita akan menjadi "tapak pelupusan" (dumping ground) produk-produk teknologi lapuk.

Pada masa yang sama, beberapa agensi kerajaan juga begitu asyik dalam mempromosikan kenderaan hibrid dan elektrik tanpa melakukan Penilaian Kitar Hayat (LCA) yang teliti untuk mengenal pasti sama ada produk-produk yang dikatakan 'hijau' ini adalah benar-benar mesra alam dan cekap tenaga. Jika kita melaksanakan kedua-dua MEPS dan pelabelan kecekapan tenaga, persoalan ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.

Untuk memastikan proses pelabelan seperti ini boleh dilaksanakan, Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM boleh menggunakan (adopt) mekanisme pensijilan kenderaan yang sedia ada untuk memulakan ujian. Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan satu sistem Penilaian Bintang untuk peralatan yang menggunakan tenaga elektrik. Sistem ini mempunyai penarafan 1 Bintang (yang terendah) sehingga penarafan tertinggi 5 Bintang yang meliputi produk-produk elektrik terpilih. Kebelakangan ini, dengan tekanan yang berterusan daripada AWER, Suruhanjaya Tenaga akhirnya telah menyediakan dokumen undang-undang untuk melaksanakan MEPS bagi produk elektrik yang terpilih. Kerajaan Persekutuan boleh melanjutkan peranan Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan pelabelan kecekapan tenaga bagi kenderaan dalam Belanjawan 2014.

Disebabkan tiada agensi yang mengawal selia penggunaan sumber tenaga dalam sektor pengangkutan, AWER menggesa kerajaan untuk memberikan bidang kuasa ini kepada Suruhanjaya Tenaga dalam Belanjawan 2014 dengan kadar segera supaya langkah-langkah meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor ini dapat dipercepatkan apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi. Dengan ini, ia dapat membantu mengurangkan beban kepada rakyat dan perniagaan secara berterusan.

Adakah kita bersedia untuk anjakan paradigma untuk menjadi cekap tenaga?

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies