English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Pengurusan Permintaan Air Terawat Adalah Penting Untuk Menjadikan Malaysia Cekap Air

SURAT KEPADA PENGARANG - 19 September 2013 (Khamis)
Pengurusan Permintaan Air Terawat Adalah Penting Untuk Menjadikan Malaysia Cekap Air

Bekalan air terawat berasaskan komuniti merupakan asas untuk pembangunan sistem bekalan air bersepadu. Dengan peningkatan penduduk dan pembangunan yang berterusan, permintaan bagi air terawat sentiasa meningkat. Di samping itu, zon-zon permintaan tidak lagi berasaskan komuniti. Sesetengah zon permintaan meletakkan jauh dari sumber air itu sendiri. Dengan kemajuan dalam teknologi, ini menjadi kemungkinan melalui kejuruteraan.

Infrastruktur dan sistem operasi yang digunakan untuk jangkamasa panjang akan usang serta menyebabkan proses perawatan dan bekalan air menjadi tidak cekap.  Tambahan pula, anda akan membayar melalui tarif bagi ketidakcekapan ini. Negara-negara membangun menangani ketidakcekapan serta peningkatan dalam permintaan air terawat dengan membina loji-loji perawatan air yang baru. Ini bukan satu penyelesaian kejuruteraan yang mampan. Adakah Malaysia jatuh di bawah kategori yang sama? Pada tahun 2012, terdapat 473 loji perawatan air di Malaysia dengan jumlah kapasiti reka bentuk 17,901 Juta Liter Sehari (JLH).

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan penyelidikan dan pemodelan secara berterusan untuk memastikan dasar dan kemajuan teknikal yang betul dilaksanakan. Kami telah membangunkan Model 3C50. Melalui alat perancangan ini, AWER dapat memastikan dan membantu agensi-agensi kerajaan dalam pelaksanaan dasar yang betul.

Kejayaan pertama kami dalam melaksanakan model 3C50 untuk pengurusan permintaan adalah pembentukan Pasukan Petugas Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan terperinci di Malaysia. Selepas perjuangan yang lama, kabinet meluluskan penubuhan pasukan petugas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Anggaran kehilangan pendapatan setiap tahun disebabkan oleh NRW adalah melebihi RM 1.6 bilion. Untuk memastikan kerajaan serius dalam pengurangan NRW, model kewangan telah dicipta oleh AWER untuk membolehkan negara melihat kuantiti air terawat yang terbazir dalam bentuk Ringgit. Kini, Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan hampir selesai dan memberikan pendekatan yang menyeluruh untuk mengurangkan NRW di Malaysia. Sebagai contoh, pengurangan 30% dalam tahap NRW semasa di seluruh negara secara berterusan selama 5 tahun adalah bersamaan dengan membina Loji Perawatan Air Langat 2 lebih besar dengan kapasiti tambahan melalui penjimatan ini.

Di Perlis, tahap NRW meningkat daripada 59.8% pada tahun 2011 kepada 66.4% pada tahun 2012. Nilai ini bukan disebabkan oleh kegagalan pihak berkuasa untuk mengurangkan NRW. Ini adalah disebabkan peningkatan tekanan dalam sistem bekalan air akibat tambahan loji perawatan air yang baru. Ini juga menunjukkan bahawa pembinaan loji perawatan yang banyak tidak akan menyelesaikan peningkatan permintaan. Sebaliknya, ia akan meningkatkan nilai NRW secara mendadak disebabkan oleh infrastruktur yang usang. Ini adalah satu contoh klasik mengapa AWER mendesak pelan tindakan pengurangan NRW yang ketat dengan mekanisme terperinci termasuk pembiayaan (funding).

Isu pembiayaan membawa kepada pelan kedua di bawah model 3C50, iaitu menyiapkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara menjelang akhir tahun 2013. Proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air sepatutnya telah siap pada akhir Rancangan Malaysia Ke-9 pada tahun 2010. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) adalah lewat 3 tahun dan ini melambatkan rancangan untuk industri perkhidmatan air di dalam Rancangan Malaysia ke-10. Pada awal suku kedua tahun ini, AWER telah bertemu dengan Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai beliau di KeTTHA untuk membincangkan perkara ini dengan terperinci. Keputusan perbincangan memihak kepada proses penstrukturan semula dan ia telah dipersetujui bahawa menjelang akhir tahun 2013, proses penstrukturan semula bagi Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan akan selesai. Ini adalah Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang kita semua perlu pantau secara bersama-sama bagi KeTTHA.

Di Malaysia, 2/3 daripada air terawat digunakan oleh pengguna domestik dan strategi-strategi pengurusan permintaan (demand side management) yang sesuai adalah penting untuk membantu mereka mengurangkan penggunaan air secara berkesan. Berdasarkan proses konsultasi, kajian pasaran dan ujian yang telah dijalankan oleh AWER dalam tempoh 18 bulan lepas, satu peranti atas talian, Tangkap si Hydro (Catch d' Hydro), telah dibangunkan di bawah model 3C50 yang sama melalui pembiayaan Dana Inovatif Komuniti (Community Innovative Fund - CIF) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Peranti ini akan membantu pengguna domestik mengukur penggunaan air untuk pelbagai aktiviti di rumah serta mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang mempunyai penggunaan air yang tinggi. Kalkulator ini boleh dilayari secara terus melalui www.water.org.my atau www.awer.org.my (di bawah Seksyen H2O tool).

AWER telah menggunakan kaedah "pintu ke pintu" (gate to gate) daripada pendekatan Kajian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk menghasilkan Tangkap si Hydro dan mendapatkan kadar penggunaan air (water footprint) bagi sebuah isirumah. Tambahan pula, ia juga boleh digunakan oleh pengguna antarabangsa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan penggunaan air harian sebanyak 165 liter/kapita/hari dan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SPAN, purata penggunaan air kebangsaan adalah 212 liter/kapita/hari bagi tahun 2012. Ini adalah peningkatan daripada 210 liter/kapita/hari pada tahun 2011. Melalui pengurangan penggunaan air kepada 180 liter/kapita/hari, Malaysia akan mempunyai tambahan kapasiti air terawat hampir 1000 Juta Liter Sehari (JLH). Ini boleh dilakukan oleh pengguna domestik tanpa sebarang perbelanjaan.

Dengan melaksanakan ketiga-tiga komponen ini, fasa pertama strategi Pengurusan Permintaan bagi air terawat oleh AWER boleh berjaya dilaksanakan. Setelah beberapa parameter terpilih dicapai, kami akan mendedahkan fasa kedua strategi Pengurusan Permintaan. Sekarang, KeTTHA dan kerajaan-kerajaan negeri perlu memastikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air lengkap pada tahun ini. Ini adalah satu elemen penting untuk maju ke hadapan dalam pengurusan permintaan dan menambahbaik industri perkhidmatan air kita.

Berdasarkan anggaran konservatif dalam mengurangkan NRW dan mengekalkan penggunaan air domestik pada tahap yang cekap, kita akan dapat menjimatkan lebih daripada RM 9.09 bilion antara tahun 2015 dan 2025. Secara komersial, ia boleh mencapai 2 atau 3 kali penjimatan yang dianggarkan. Maka, menjadi cekap air lebih bermakna dalam Ringgit. Apa yang kita sedang tunggu?

Piarapakaran s.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies