English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KOMEN BELANJAWAN 2014 OLEH AWER

SIARAN MEDIA: 26 OKTOBER 2013 (SABTU)

KOMEN BELANJAWAN 2014 OLEH AWER

1. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
Pelaksanaan GST bagi bekalan tenaga elektrik perlu dikaji semula oleh kerajaan. Ini disebabkan, komponen kos daripada Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement - PPA) bagi Penjana Bebas (IPP) Generasi Pertama dan Kedua masih ditanggung oleh tarif elektrik semasa. Berdasarkan perbincangan AWER dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini, ST tidak akan melakukan rundingan semula bagi PPA generasi kedua. Rundingan semula bagi PPA generasi pertama bermula dari tahun 2007 dan telah gagal sepenuhnya untuk mengurangkan impak PPA yang sebenar kepada tarif elektrik. PPA generasi pertama (kecuali beberapa IPP yang mendapat sambungan PPA) dijangka tamat menjelang tahun 2016. Manakala, PPA generasi kedua pula dijangka tamat di antara tahun 2020 hingga 2024. Pada masa yang sama, ST mesti melaksanakan penetapan tarif elektrik yang telus dengan penglibatan semua pihak berkepentingan. Cadangan-cadangan penambahbaikan sistem penetapan tarif serta industri elektrik negara telah beulang kali diberikan kepada ST dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) oleh AWER sejak tahun 2011.

2.  Penyusunan Semula Peruntukkan Guna Tenaga Dalam Sektor Pengangkutan
AWER mengalu-alukan pelaksanaan projek-projek Pengangkutan Awam yang akan menyumbang secara positif dalam peruntukkan guna tenaga (sumber tenaga). Ini kerana perubahan daripada penggunaan kenderaan persendirian ke pengangkutan awam hanya boleh dipercepatkan dengan jaringan pengangkutan awam yang bersepadu. AWER menyeru kerajaan untuk membangunkan Pelan Pengangkutan Awam Jangka Panjang untuk memastikan pembangunan pengangkutan awam yang terancang dengan sasaran-sasaran yang terperinci. Pada masa yang sama, AWER juga menyeru kerajaan untuk melaksanakan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS ) dan pelabelan kecekapan tenaga mandatori untuk kenderaan bagi kedua-dua kegunaan peribadi dan komersil. Mekanisme pelabelan ini akan membolehkan pembelian kenderaan yang cekap dalam penggunaan bahan api dan membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta menjadi lebih mesra alam. Ini juga akan membantu program rasionalisasi subsidi bahan api secara berperingkat.

3. Margin Simpanan (Reserve Margin) Bekalan Air Terawat Kurang Daripada 20% di Seluruh Negara
Peruntukan sebanyak RM 1.2 Billion hanya merupakan langkah jangka pendek untuk membantu membangunkan infrastruktur bekalan air. KeTTHA telah melewatkan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) yang sepatutnya diselesaikan semasa Rancangan Malaysia Ke-9 (tahun 2010). Pada awal tahun ini, pihak AWER telah bertemu dengan Ketua Setiausaha KeTTHA untuk membincangkan mengenai beberapa masalah berkaitan industri perkhidmatan air termasuk kelewatan PSIPAN yang sudah 3 tahun lamanya. KeTTHA telah bersetuju untuk melengkapkan PSIPAN menjelang akhir 2013. Jika perkara ini gagal dilaksanakan, tindakan tegas mesti diambil kepada semua pegawai KeTTHA yang terlibat dalam kelewatan pelaksanaan PSIPAN kerana mereka telah menyebabkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan dan mengganggu-gugat Jaminan Air negara.

Satu jawatankuasa khas untuk memantau situasi bekalan air terawat di Selangor dan Kuala Lumpur mesti ditubuhkan dengan segera bagi memastikan bekalan air terawat adalah mencukupi di Lembah Klang semasa Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut kajian AWER juga, rakyat Kelantan terpaksa bergantung kepada air bawah tanah melalui perigi dan telaga tiub. Tahap kualiti air ini masih diragukan dan mereka terpaksa berbelanja lebih RM 600 untuk membina perigi sendiri atau lebih daripada RM 1400 untuk memasang telaga tiub. Kami menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mempercepatkan pelaksanaan PSIPAN bagi memastikan perkhidmatan air kepada rakyat Kelantan tidak terabai.

4. Elaun Cukai Pelaburan dan Pengecualian Cukai bagi Teknologi Hijau
Ini adalah sesuatu yang dialu-alukan bagi meningkat penggunaan teknologi hijau di Malaysia dan secara langsung mengurangkan impak kepada alam sekitar. Pada masa yang sama, pemberian elaun culai pelaburan serta pengecualian cukai perlu diteliti dan diiktiraf supaya tidak berlakunya penyelewengan. Ini kerana beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat terlalu banyak teknologi 'hijau' tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di pasaran. Ini juga bagi mengelakkan sektor perniagaan daripada tertipu dengan helah 'hijau'.

5. Yayasan Hijau Malaysia
KeTTHA sudahpun mempunyai tiga agensi yang bertindih tugas (redundant) dan kini ditambah dengan satu lagi dalam belanjawan ini. Green Technology Corporation (Green Tech Corp) yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri pada tahun 2009 merupakan agensi yang sepatutnya menjalankan tugas-tugas promosi teknologi hijau secara keseluruhan. Green Tech Corp juga mempunyai tenaga kerja dan pejabat yang serba lengkap. AWER berharap PENUBUHAN YAYASAN HIJAU MALAYSIA DIBATALKAN untuk mengelakkan terlalu banyak agensi yang tidak berfungsi dan membazir wang rakyat. Tiga lagi agensi yang patut dimansuhkan adalah Jabatan Bekalan Air, Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) kerana tugas semua agensi ini boleh dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Indah Water Konsortium (IWK) dan Syarikat-syarikat air seluruh negara yang berkenaan.

6. Tragedi Cameron Highlands dan Pengurusan Kawasan Tadahan Air
Pengurusan guna tanah memainkan peranan penting dalam pengurusan kawasan tadahan air. Tragedi di Cameron Highlands sebenarnya boleh dielakkan dan ianya bukanlah satu kejadian semulajadi. Pembukaan kawasan hulu di sekeliling empangan secara berleluasa serta pengurusan hilir di sekeliling empangan merupakan dua perkara yang mempunyai kemungkinan tinggi sebagai penyebab utama tragedi ini. Kerajaan mesti mengambil tindakan ke atas individu-individu atau entiti-entiti yang bertanggunjawab dalam pembukaan kawasan hulu secara berleluasa.

Pihak AWER juga telah menghantar memorandum kepada semua ketua-ketua kerajaan negeri dan agensi-agensi persekutuan selepas pilihanraya yang lepas di mana kami telah tegaskan kepentingan untuk mewartakan dan melindungi kawasan tadahan air. Adakah kita ingin menunggu tragedi yang melibatkan kematian beribu-ribu orang atau krisis air yang teruk untuk mula melindungi kawasan tadahan air dan tanah tinggi di Malaysia? Semua kerajaan negeri telah diberi masa sehingga tahun 2015 untuk mewartakan semua kawasan tadahan air dan melindunginya.

7. Kecekapan Tenaga Operasi Kerajaan

AWER mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mula mengaudit penggunaan elektrik dan mengubahsuai (retrofit) untuk meningkatkan kecekapan tenaga operasi. Pihak AWER juga mengharapkan Kementerian Kewangan (MoF) tidak terpedaya dengan janji-janji penjimatan jutaan ringgit yang dijanjikan oleh mana-mana agensi atau entiti jika semua lampu sedia ada ditukar kepada lampu LED. Cuba memandu di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya dan bandingkan kecerahan lampu jalan biasa dan lampu jalan LED. Anda boleh melihat perbezaan yang ketara. Kos pemasangan lampu LED juga bukanlah pelaburan yang rendah.

Kerajaan mesti melaksanakan inisiatif tiada pelaburan dengan serta-merta. Inisiatif tiada pelaburan adalah secara langsung berkaitan dengan corak tingkah laku, pola penggunaan dan penyesuaian ringkas dalam operasi harian. Inisiatif pelaburan yang rendah adalah yang melibatkan penukaran peralatan, pendawaian elektrik direka bentuk semula untuk memperkenalkan zon (lampu), perubahan panel kaca, dan lain-lain. Penjimatan daripada dua inisiatif ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk melabur dalam langkah-langkah kecekapan tenaga yang memerlukan pelaburan yang tinggi. Kerajaan juga mesti mengelakkan penggunaan kaedah Kontrak Pencapaian Tenaga (Energy Performance Contracting) seperti yang pernah dicadangkan oleh KeTTHA sebelum ini. Pada masa yang sama, semua kementerian dan agensi-agensinya dialu-alukan untuk menggunakan kalkulator atas talian (online) yang dibangunkan oleh AWER untuk melakukan AUDIT TENAGA YANG RINGKAS DAN PERCUMA di laman web www.click.org.my. Kalkulator ini dibangunkan untuk semua kategori pengguna tenaga elektrik.

Kesimpulan

Semua komen ini adalah untuk menambahbaik Belanjawan 2014 dan terus memperbaiki pelindungan alam sekitar serta pencapaian Jaminan Air dan Tenaga di Malaysia. Pihak AWER berharap YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dapat melakukan pindaan sewajarnya untuk Belanjawan 2014 dalam sesi parlimen ini.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies