English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

MENYELESAIKAN MASALAH BANJIR DENGAN KAEDAH SEMULAJADI

15 Disember 2013

MENYELESAIKAN MASALAH BANJIR DENGAN KAEDAH SEMULAJADI

Isu banjir telah menghantui Malaysia untuk sekian lamanya. Kejadian banjir kini semakin 'ganas'. Pendirian Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) adalah kita hidup dalam keseimbangan dengan alam sekitar. Jika  keseimbangan ini diganggu, maka, kita akan menerima akibatnya. Di mana, Hukum Newton ketiga (hukum semesta) menekankan bahawa setiap tindakan mempunyai tindakbalas yang sama dan bertentangan. Ia juga telah dilaporkan bahawa kabinet sedang meneliti rancangan yang lebih menyeluruh untuk menangani isu banjir di Malaysia, mungkin kami boleh berkongsi beberapa pendapat.

Banjir yang berlaku di pelbagai pelusuk di dunia adalah sebahagian daripada kitar air. Lebih-lebih lagi, Malaysia direstui dengan kadar hujan yang tinggi disebabkan iklim Khatulistiwa kita. "Hujan" adalah kata kunci pertama. Apabila hujan turun, sebahagian daripada air hujan ini diserap oleh hutan dan tanah. Ini mewujudkan rejim air bawah tanah. Baki air hujan ini akan mengalir pada permukaan sebagai air larian permukaan (surface runoff). Disebabkan pengurangan kapasiti penyerapan, secara semulajadi, kadar aliran air larian permukaan akan bertambah. Mengapa kapasiti penyerapan berkurangan? Ia berkurangan disebabkan pembersihan hutan, perubahan dalam guna tanah (land use), pertambahan dalam permukaan tidak telap air (permukaan yang tidak menyerap air) dan secara keseluruhan pembangunan untuk menampung peningkatan populasi.

Banjir Kilat

Aras air banjir kilat turun lebih cepat daripada banjir biasa. Kita pernah mendengar banyak kali bahawa sampah-sampah yang tersumbat pada saliran boleh menyebabkan banjir kilat. Tapi, perkara ini mempunyai hadnya. Kejadian banjir kilat tidak boleh disalahkan kepada sampah-sarap sahaja. Walaupun saluran tersumbat menjadi salah satu punca banjir kilat, sungai atau longkang monsun (longkang konkrit besar) yang melimpah tiada kaitan dengan sampah. Ia lebih berpunca daripada rekabentuk dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan.

Proses rekabentuk saliran bukan sesuatu yang statik. Ia perlu diperbaiki dengan peredaran masa. Pihak kami juga mendapati banyak rekebentuk saliran yang lama wujud  dan tidak ditambah baik. Dengan peningkatan permukaan yang tidak telap air disebabkan pembangunan taman-taman perumahan, kawasan perniagaan dan jalan berturap, air hujan akan mengalir dengan banyak di atas permukaan ini. Jika sistem saliran tidak dapat menampung, banjir kilat adalah perkara biasa.

Banjir Biasa

Kawasan-kawasan yang dilanda banjir kini sedang mengalami banjir biasa yang aras airnya turun dengan lambat. Ini akan memberikan lebih banyak masalah kepada kawasan-kawasan ini disebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan harian tidak dapat dilaksanakan. Air yang mengalir mengisi ruang terutamanya apabila ia sampai ke jalan buntu atau permukaan yang rata. Tasik-tasik dan paya air tawar adalah contoh semulajadi bagaimana alam sekitar menampung air banjir. Kebanyakan daripada rekabentuk semulajadi ini kini telah diratakan untuk pembangunan atau menjadi lebih cetek disebabkan sedimentasi. Ini sememangnya bukan berita baik untuk mengurangkan kejadian banjir.

Adakah pendalaman dan pelebaran sungai membantu?

Mendalamkan sungai adalah bermaksud untuk meningkatkan isipadu air yang di bawa sungai pada sesuatu masa. Walau bagaimanapun, pendalaman sungai atau saliran mestilah secara sama rata. Jika pendalaman dilakukan pada kawasan yang terjejas sahaja, kawasan yang membawa keluar air daripada kawasan terjejas akan menjadi lebih cetek. Ini mungkin memburukkan lagi keadaan banjir dengan pemendapan sedimen dan mungkin akan menyebabkan banjir yang lebih teruk.

Maka, kita perlukan pendalaman dan pelebaran sungai yang sama rata untuk mengalirkan air keluar dengan cepat dan menjauhi kawasan yang terjejas.

Adakah rekabentuk yang digunakan salah?

Kaedah pengiraan untuk rekabentuk saliran sepatutnya lebih fleksibel. Ini kerana dalam kejuruteraan, setiap rekabentuk disediakan untuk berfungsi pada keadaan yang paling kritikal dan digandakan dengan faktor keselamatan (safety factor). Ini bermakna, kita sepatutnya mempunyai pelan tebatan banjir yang boleh tampung lebih daripada keadaan paling kritikal. Tetapi, jika keadaan kritikal bertambah dengan cepat ia boleh menyebabkan kegagalan rekabentuk dan menyebabkan banjir yang kerap. "Rekabentuk" adalah kata kunci kedua.

Maka, dalam proses rekabentuk, kadar pertambahan keadaan paling kritikal perlu diambil kira. Bagaimana kita mengukur kegagalan sesuatu rekabentuk tebatan banjir? Apabila banjir kerap berlaku dalam jangkamasa terdekat selepas pelaksanaan projek tersebut, projek mitigasi telah gagal.

Bagaimana kita menyelesaikan masalah banjir untuk perancangan jangka pendek dan sederhana?

Jawapannya mudah sahaja. Setiap penyelesaian yang dirancang mesti ‘meniru’ kaedah semulajadi yang berlaku di alam sekitar kita. Air mengalir dari kawasan tinggi ke rendah sambil mengikut laluan yang paling logik (disebabkan graviti). Ia juga membentuk kawasan paya air tawar dan tasik dalam perjalanannya. Pada masa yang sama, ia perlu mengekalkan penyerapan air ke dalam tanah untuk membentuk air bawah tanah. Ini prinsip aliran air yang semulajadi. "Meniru" adalah kata kunci ketiga.

Jika prinsip ini gagal dilaksanakan, ia mungkin tidak akan menyelesaikan masalah banjir kilat tetapi memburukkannya lagi. Apabila kawasan tadahan sementara diwujudkan, ia perlu diselenggara dengan kerap. Pada masa yang sama aras air bawah tanah juga mempengaruhi fungsi kolam tadahan ini. Kaji dengan teliti sebelum melaksanakan mana-mana kaedah.

Antara kaedah-kaedah yang digunakan adalah:
(i) Lubang berongga  - lubang-lubang dalam tanah yang diisi batuan yang berongga secara menegak. Batuan ini menyerap air hujan dan melepaskannya perlahan-lahan sebagai air bawah tanah.
(ii) Kawasan rekreasi yang beralun dan dilitupi rumput - kawasan ini membentuk tadahan air hujan sementara. Kaedah ini lebih berkesan untuk kawasan perumahan.
(iii) Sistem paip berongga – satu sistem yang hampir sama dengan kaedah lubang berongga. Tetapi, sistem ini adalah secara mendatar (tertanam dalam tanah) dan ia mengalirkan air ini ke sistem tangki simpanan air di bawah tanah. Kemudiannya tangki ini akan menyimpan air hujan ini dan membenarkan air meresap menjadi air bawah tanah secara perlahan.
(iv) Tasik buatan manusia – kaedah yang biasa digunakan di Malaysia. Tasik-tasik buatan manusia ditempatkan untuk menyalurkan air hujan dan melepaskannya ke sistem longkang dan sungai dengan kadar yang ditetapkan. Tasik buatan ini boleh dijadikan kawasan rekreasi.
(v) Paya air tawar buatan manusia - Paya buatan dapat menampung lebih banyak air berbanding tasik buatan. Kawasan paya ini di tanam dengan pembagai tumbuhan yang dapat meningkatkan kualiti air. Putrajaya menggunakan kaedah ini untuk menguruskan air aliran permukaan.
(vi) Kaedah-kaedah kejuruteraan – kaedah-kaedah ini menelan belanja dan boleh berfungsi dengan lebih baik dengan kaedah-kaedah sokongan lain seperti di atas.

Maka, melalui contoh-contoh di atas, melambatkan aliran air permukaan adalah cara penyelesaian yang penting. Tak salah kalau kita tiru alam sekitar. Keputusan yang kita ingin capai adalah kata kunci keempat, "melambatkan". Menyelesaikan kejadian banjir adalah melambatkan kemasukan air larian permukaan ke kawasan yang mempunyai risiko banjir yang tinggi. Pada masa yang sama, penyelesaian untuk mengalirkan air keluar dengan banyak dan cepat  dari kawasan ini juga penting.

Pemeliharaan dan Penyelengaraaan adalah penting

"Pemeliharaan" adalah kata kunci ke lima. Mengelakkan adalah lebih baik daripada mengubati dan kawasan hutan kita perlu dipelihara dalam keadaan asal. Pembersihan hutan dan pembalakan mesti di kawal. Secara semulajadi, lanskap Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membantu aliran air menggunakan graviti dengan baik. Apabila kawasan hutan hilang dengan cepat, air hujan dari kawasan tanah tinggi akan mengalir dengan cepat kerana mekanisme "melambatkan" sudah tiada. Bila kita kehilangan hutan kita, kita kehilangan sistem tebatan banjir semulajadi kita.

Kata kunci terakhir adalah "selenggara". Budaya penyelengaraan di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Kita boleh menggunakan teknik-teknik terbaik dan apabila kita gagal menyelenggara sistem yang disediakan, kita sebenarnya menempatkan 'bom jangka' (time bomb). Penyelenggaraan terjadual dan pemeriksaan berterusan perlu wujud.

Tambahan pula, komuniti-komuniti setempat yang bergantung kepada sistem mitigasi banjir ini mesti mempunyai pemahaman asas bagaimana sistem ini berfungsi. Ini boleh membantu mereka bertindak cepat jika sistem ini gagal.

Perlu juga ditekankan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai kuasa penguat kuasaan ke atas penyelesaian-penyelesaian ini. Apabila penyelesaian ini disarankan, ia adalah terpulang kepada Kerajaan Tempatan di bawah kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan saranan-saranan ini. Ini adalah isu yang perlu diselesaikan. Kebanyakan masa, saranan-saranan ini diberikan tetapi tidak dikuat kuasakan oleh kerajaan tempatan.

Kami berharap Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan JPS akan menyediakan kerangka mitigasi banjir jangka panjang dengan penglibatan kerajaan tempatan. Jika perlu, kuasa penguat kuasaan perlu diberikan kepada JPS untuk memastikan peruntukkan-peruntukkan bagi projek mitigasi banjir tidak terbazir disebabkan tiada penguat kuasaan.

Ingat, setiap tindakan mempunyai tindakbalas yang sama dan bertentangan.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (1 Posted)

  1. hafiz piya


    2014-06-23
    Arrow Saya sokong

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies