English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

LEBIH DARIPADA RM 42 BILION TIDAK AKAN DI AMBIL DARIPADA POKET PENGGUNA DOMESTIK DI ANTARA TAHUN 2025 DAN 2030 JIKA KERAJAAN MELAKSANAKAN DASAR-DASAR KECEKAPAN TENAGA YANG BETUL

Tarikh: 11 Februari 2014 (SELASA)

LEBIH DARIPADA RM 42 BILION TIDAK AKAN DI AMBIL DARIPADA POKET PENGGUNA DOMESTIK DI ANTARA TAHUN 2025 DAN 2030 JIKA KERAJAAN MELAKSANAKAN DASAR-DASAR KECEKAPAN TENAGA YANG BETUL

Kenaikan tarif tenaga elektrik yang mendadak baru-baru ini telah mengejutkan rakyat Malaysia dan bimbang tentang implikasi kos bagi barangan dan perkhidmatan. Kesan daripada kenaikan tarif tenaga elektrik yang sepenuhnya hanya akan dapat dilihat dengan jelas mulai bil bulan Februari. Pada masa yang sama, dasar-dasar kecekapan tenaga semasa tidak memberi faedah secara langsung kepada semua peringkat pengguna untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik mereka. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan satu kajian penyelidikan yang teliti dalam pelaksanaan kecekapan tenaga bagi sektor domestik dan beberapa sektor yang berkaitan. Kajian ini memberi tumpuan kepada mewujudkan mekanisme yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan dasar kecekapan tenaga akan membawa nilai untuk wang dan meningkatkan kualiti alam sekitar. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur dan Kerajaan British.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga 2009, sebanyak 90838 GWj (GigaWattjam) tenaga elektrik telah dijual di Malaysia. Sektor domestik menggunakan hampir 20% daripada keseluruhan penggunaan dan menghasilkan 12.17 juta tan CO2 (karbon dioksida). Oleh itu, peningkatan 20% dalam kecekapan tenaga bagi sektor domestik akan dapat mengurangkan lebih daripada 36.33 juta tan CO2 serta menjimatkan lebih daripada RM 42.06 Bilion di antara tahun 2025 dan 2030 jika produk tidak cekap tenaga dihentikan penggunaan secara berperingkat sepenuhnya dari pasaran Malaysia menjelang tahun 2020. Penjimatan ini tidak merangkumi penjimatan tambahan daripada sektor komersil dan industri di mana banyak produk-produk yang digunakan oleh pengguna domestik juga digunakan dalam operasi mereka seperti penghawa dingin, peralatan multimedia, cerek elektrik, peti sejuk dan sebagainya. Anggaran AWER adalah berdasarkan unjuran yang sangat konservatif dan penjimatan sebenar dapat dilihat dari permulaan pelaksanaan dasar kecekapan tenaga di mana hasil penjimatan secara keseluruhan mungkin mencapai 2 hingga 3 kali daripada penjimatan yang dianggarkan.

Laporan kajian ini yang bertajuk, "KECEKAPAN TENAGA DI MALAYSIA: Pembuatan dan Penggunaan Lestari: Menghentikan Penggunaan Produk-produk Tidak Cekap Secara Tenaga Berperingkat di Malaysia" boleh diperolehi melalui laman web kami www.awer.org.my dan www.click.org.my. Laporan ini akan dihantar kepada semua agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan, kerajaan-kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dan kumpulan industri sebagai panduan untuk meningkatkan kecekapan tenaga bagi sektor domestik secara khusus. AWER akan terus menjalankan lebih banyak kajian untuk membantu kedua-dua pengguna domestik dan perniagaan untuk menampung kos tenaga dan tenaga elektrik yang semakin meningkat melalui kaedah kecekapan tenaga.

Kesimpulan Kajian 1: Suruhanjaya Tenaga Mesti Menerajui Insiatif-Inisiatif Kecekapan Tenaga

Seksyen14 (l), 14 (la), 23A, 23B dan 23C dalam Akta Bekalan Elektrik dan seksyen 14 (1) (a), (b), (d), (e), (g) dan (i) dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 telah menyatakan dengan jelas bahawa fungsi pelaksanaan dan pengawal seliaan untuk kecekapan tenaga adalah di bawah Suruhanjaya Tenaga.

Di dalam deraf Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (National Energy Efficiency Action Plan - NEEAP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini, satu pasukan projek sedang ditubuhkan untuk melaksanakan pelan-pelan kecekapan tenaga yang dinyatakan dalam NEEAP. Kerajaan sebenarnya hanya perlu mendapatkan tenaga kerja yang lebih kompeten dan jumlah pegawai yang lebih banyak untuk melaksanakan Pengurusan Permintaan (Kecekapan Tenaga) di dalam operasi Suruhanjaya Tenaga yang sedia ada serta memecat pegawai-pegawai yang tidak kompeten. Langkah ini dapat mengelakkan pembaziran dana awam dan mengelakkan kelewatan dalam pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga yang disebabkan politik pejabat di KeTTHA.

Kesimpulan Kajian 2:        Pelaksanaan Segera Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS)

Beberapa kajian kes yang telah dijalankan oleh AWER telah membawa kesimpulan sama iaitu Malaysia amat memerlukan pelaksanaan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS) dengan kadar segera. MEPS adalah kaedah berkesan yang paling cepat dan murah untuk menghentikan produk tidak cekap tenaga di pasaran. Cadangan terperinci untuk pelaksanaan MEPS telah dibincang dalam laporan ini bagi kerajaan menambah baik dasar-dasarnya. Kajian serantau oleh AWER juga telah mengenal pasti bahawa beberapa negara ASEAN telahpun bergerak ke hadapan lebih awal daripada Malaysia dalam perkara ini. Selepas desakan berterusan daripada pihak AWER sejak tahun 2012, Suruhanjaya Tenaga akhirnya melaksanakan MEPS bagi produk-produk sedia ada yang mempunyai label kecekapan tenaga penarafan 5 bintang.  Akan tetapi, nilai MEPS ditetapkan pada nilai yang rendah. Kemasukan produk-produk yang tidak dapat melepasi MEPS di negara-negara lain seperti Hong Kong, Singapura dan Eropah dapat dilihat di pasaran Malaysia. Ini termasuk produk seperti peti sejuk dan penghawa dingin. Masalah ini perlu diselesaikan oleh Suruhanjaya Tenaga dengan segera dan nilai MEPS mesti ditingkatkan untuk mengelakkan Malaysia daripada menjadi tapak pelupusan teknologi lama dan produk-produk tidak cekap tenaga.

Kesimpulan Kajian 3: Pelabelan Produk-Produk Elektrik Dan Elektronik Mesti Dipiawaikan

Label adalah salah satu elemen penting dalam merumuskan maklumat produk kepada pengguna. Maklumat yang tepat akan membantu pengguna untuk memilih dan menggunakan produk dengan bijak. Berdasarkan rundingan dengan orang awam dan perbandingan dengan lain-lain amalan pelabelan antarabangsa yang lebih baik, AWER mencadangkan penambahbaikan dalam pelabelan bagi produk elektrik dan elektronik di Malaysia untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga. Apabila penambahbaikan pelabelan dilakukan mengikut cadangan AWER, ia akan memberi faedah secara langsung kepada pengguna untuk mengukur penggunaan tenaga elektrik mereka dengan mudah. Penambahbaikan ini juga perlu dilakukan selari dengan penguatkuasaan.

Tambahan pula, kerajaan telah berjanji untuk menaik taraf semua label kecekapan tenaga penarafan 5 bintang sukarela kepada pelabelan mandatori. Akan tetapi, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) tidak memberikan tempoh pelaksanaan perkara ini. Pelabelan  penarafan 5 bintang mandatori adalah penting untuk meningkatkan kehadiran produk-produk yang mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi dalam pasaran serta membantu pengguna membeli produk-produk cekap tenaga dengan mudah.

Kesimpulan Kajian 4: Latihan Dan Pendidikan Untuk Pembekal Dan Pemborong

Dalam proses perundingan, kami mendapati bahawa kebanyakan pembekal dan pemborong tidak mengetahui kebanyakan isu-isu yang berkaitan dengan dasar, piawaian dan maklumat produk. Pemborong telah secara terbuka meminta latihan untuk dijalankan bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan luas tentang keperluan undang-undang yang ditetapkan ke atas produk yang menggunakan tenaga.

Pada masa ini, latihan dan penyebaran maklumat mengenai produk adalah tidak jelas. Kakitangan perolehan bagi pemborong juga tidak mahir dalam butir-butir pelabelan, piawaian dan ujian. Latihan sambil bekerja boleh membantu pemborong untuk memastikan peningkatan dalam jualan produk cekap tenaga serta pengenalan pelabelan dan keputusan ujian yang betul. Di samping itu, latihan dan proses pendidikan boleh membantu Suruhanjaya Tenaga untuk meningkatkan penguatkuasaan dan kerja-kerja pemantauan.

Kesimpulan Kajian 5: Pengurusan E-Waste Dan Sisa Terjadual (Dengan Merkuri)

Pertengahan tahun 2013, AWER telah menyiarkan beberapa penemuan dan penyelesaian teras yang berkaitan dengan pengurusan E-Waste (sisa elektronik) dan Sisa Terjadual (dengan Merkuri) yang dilaporkan secara meluas dalam media. Kami gembira bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengumumkan pada bulan Disember 2013 di mana JAS akan menggubal peraturan-peraturan bagi pengurusan e-waste. Penemuan-penemuan yang diterbitkan dalam laporan kami ini akan membantu JAS untuk mendapat pandangan yang lebih komprehensif mengenai isu ini. Kami juga telah mengenal pasti mekanisme yang sesuai dan pihak-pihak berkepentingan yang berkenaan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan peraturan pengurusan e-waste.

Kesimpulan Kajian 6: Analisis Keberkesanan (Cost Benefit Analysis) Dan Objektif Yang Jelas Diperlukan Untuk Program Insentif Atau Rebet Kerajaan

Insentif yang diberikan kepada industri mesti diterjemahkan ke dalam pengurangan kos produk. Insentif-insentif diberikan oleh kerajaan adalah melalui wang cukai rakyat. Oleh itu, perlu ada kebertanggungjawaban daripada pemain industri. Sebagai contoh, industri pemborongan telah mengakui bahawa harga produk cekap tenaga tidak berkurangan walaupun produk-produk ini diberikan insentif. Ini adalah satu keadaan yang membimbangkan. Apabila sesebuah kementerian mencadangkan insentif untuk produk cekap tenaga tertentu, pegawai-pegawainya mesti mengukur implikasinya kepada harga produk tersebut dalam sektor pemborongan.

Program Rebet SAVE adalah contoh kegagalan dalam mengurangkan harga produk-produk cekap tenaga. Punca utama kegagalan ini adalah disebabkan kartel (price fixing) dan pencatutan (profiteering). Isu ini telahpun disampaikan dengan jelas bukan sahaja kepada pegawai-pegawai KeTTHA tetapi juga kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) semenjak 2012. Malangnya, pendekatan yang sama dengan Program Rebet SAVE telah dirancang di dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP). Mengapa KeTTHA ingin mengulang kesilapan yang sama?

Kesimpulan Kajian 7:        Komitmen, Penguatkuasaan Dan Pemantauan Berterusan Daripada Suruhanjaya Tenaga

Suruhanjaya Tenaga perlu memastikan penambahbaikan berterusan dalam kecekapan tenaga di Malaysia. Sebagai pengawalselia dengan fungsi yang jelas, ia tidak seharusnya menjauhkan diri daripada tanggungjawab yang berkaitan dengan kecekapan tenaga. Begitu juga, penggubal dasar di KeTTHA mesti tahu batasan mereka dalam mengucar-kacirkan fungsi pengawalselia.

Penguatkuasaan dan pemantauan adalah kunci kepada kejayaan dalam pelaksanaan kecekapan tenaga. Kod tarif kastam yang khusus bagi produk cekap tenaga adalah diperlukan untuk memastikan produk-produk ini mudah dikenal pasti di pintu masuk negara.

Langkah-langkah ini akan melindungi produk asli, membantu pengguna untuk membeli produk cekap tenaga yang betul serta mewujudkan keyakinan pelabur dalam pasaran kita. Sebagai pulangan, ini akan mewujudkan satu model pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga yang baik bagi negara-negara membangun yang lain.

Hala Tuju

Pelaksanaan Kecekapan Tenaga di Malaysia memerlukan kerjasama dan komunikasi yang lebih erat. Suruhanjaya Tenaga perlu mengambil kepimpinan dalam melaksanakan kecekapan tenaga di Malaysia dan tenaga kerja di Suruhanjaya Tenaga yang menjadi penghalang pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga mesti buang serta-merta.. Penyelesaian pantas dan cepat diperlukan bagi Malaysia untuk melaksanakan kecekapan tenaga dalam skala penuh.

Walaupun pelbagai perkara telah dibangkitkan oleh AWER kepada Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA secara berterusan, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) tidak mencerminkan penambahbaikan tetapi pengulangan kegagalan seperti program Rebet SAVE, penetapan MEPS pada nilai rendah, kelewatan dalam penetapan pelabelan penarafan bintang mandatori dan sebagainya.

AWER telah membentangkan hasil kajian kami dengan niat baik untuk membina sebuah negara yang lebih baik dan membantu pengguna memahami kecekapan tenaga dengan lebih baik. Seperti yang selalu dikatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan tidak tahu semuanya. Maka, kami berharap laporan ini akan mengisi jurang-jurang yang wujud.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (1 Posted)

  1. lingwah


    2014-02-16
    Arrow Dear Piara, I have read the statement and manage to read few chapters that interest me. You guys have done a good work. I do hope, you follow up with the government and update to people like us. I‘m sure RM 42 billion saved from our pockets means a lot in 10 years to come. I‘ll forward to my friends as well to share the findings. Thanks.

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies