English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

ANGGARAN KEHILANGAN PENDAPATAN DISEBABKAN NRW DI ANTARA TAHUN 2008 DAN TAHUN 2013 MELEBIHI RM 10 BILLION

SIARAN MEDIA - 7 OKTOBER 2014 (SELASA)

ANGGARAN KEHILANGAN PENDAPATAN DISEBABKAN NRW DI ANTARA TAHUN 2008 DAN TAHUN 2013 MELEBIHI RM 10 BILLION

Sejak 2011, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan kajian pemodelan untuk menentukan kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh Air Tidak Terhasil (NRW). Keputusan kajian telah diterbitkan pada tahun 2011 dan 2012 untuk memastikan agensi-agensi berkaitan melaksanakan cadangan AWER dalam usaha untuk membendung kehilangan air terawat dalam sistem pengagihan. Ini telah mendorong Kabinet untuk mengarahkan Suruhanjaya Perkidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan cadangan AWER bagi membentuk Pasukan Petugas Pengurangan NRW Kebangsaan. Pasukan petugas ini juga ditugaskan untuk mengambil kira langkah-langkah penting yang dicadangkan oleh AWER bagi menjalankan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan. Pada tahun 2013, AWER tidak menerbit hasil pemodelan untuk memerhatikan tindak balas daripada pihak berkuasa. Isu NRW telah dilupakan sehingga ia dibangkitkan sekali lagi oleh AWER awal tahun ini semasa krisis air yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur. Ini hanya membuktikan bahawa jika pihak berkuasa tidak 'sentiasa diingatkan' mengenai masalah tertentu, mereka cenderung untuk 'LUPA' akan masalah tersebut.

Sekarang, mari kita lihat berapa banyak Malaysia telah bocor?

Jadual 1 menunjukkan pecahan NRW bagi setiap negeri dan purata NRW kebangsaan. Hanya Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Terengganu mencatatkan penurunan peratusan NRW pada tahun 2013 berbanding dengan tahun 2012. Tahap NRW kebangsaan telah meningkat daripada 36.4% pada tahun 2012 kepada 36.6% pada tahun 2013. Perlis mencatat kehilangan NRW tertinggi dalam peratusan iaitu 66.4% pada tahun 2012 dan 62.4% pada tahun 2013. Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) telah mencatatkan kehilangan NRW tertinggi dalam isipadu, iaitu 1,429 JLH (Juta Liter Sehari) pada tahun 2012 dan 1,575 JLH pada tahun 2013.

Jadual 2 menunjukkan anggaran kehilangan pendapatan disebabkan oleh NRW bagi setiap negeri pada tahun 2012 dan 2013. Hanya Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu telah mencatatkan penurunan kehilangan pendapatan pada tahun 2013 berbanding dengan tahun 2012. Anggaran kehilangan pendapatan terendah dicatatkan oleh Labuan berjumlah RM 3.9 Juta pada tahun 2012 dan RM 5.3 Juta pada tahun 2013. Anggaran kehilangan pendapatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) berjumlah RM 667.1 Juta pada tahun 2012 dan RM 718.8 Juta dalam 2013.

 

Jadual 1: Air Tidak Terhasil bagi Negeri dan Kebangsaan dalam Juta Liter Sehari dan Peratus bagi Tahun 2012 dan 2013

Negeri 2012 2013
Air Tidak Terhasil Air Tidak Terhasil
JLH % JLH %
Johor 427 27.8 417 26.4
Kedah 653 50.6 675 50.9
Kelantan 219 53.9 228 53.1
Labuan 12 20.4 16 25.9
Melaka 113 23.8 107 22.1
N. Sembilan 298 40.4 267 36.3
Pulau Pinang 170 17.6 180 18.2
Pahang 586 54.2 561 52.7
Perak 349 30.1 365 30.4
Perlis 133 66.4 132 62.4
Sabah 528 49.9 602 53.2
Sarawak 320 29.4 359 31.3
Selangor 1,429  33.1 1,575 34.5
Terengganu 226 36.8  210 33.8
MALAYSIA 5,464 36.4 5694 36.6

(JLH: Juta Liter Sehari)
Sumber: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

 

Jadual 2: Anggaran Kehilangan Pendapatan Disebabkan Oleh NRW bagi Setiap  Negeri untuk Tahun 2012 dan 2013

Negeri

Anggaran Kehilangan Pendapatan

Disebabkan Oleh NRW (RM Juta)

2012 2013
Johor 198.7 196.8
Kedah 174.5 179.1
Kelantan 52.9 69.7
Labuan 3.9 5.3
Melaka 46.1 43.7
N. Sembilan 107.8 98.4
Pulau Pinang 32.2 34.1
Pahang 181.6 170.6
Perak 101.40 106.8
Perlis 29.10 30.4
Sabah 173.4 197.8
Sarawak 84.8 95.1
Selangor 667.1 718.8
Terengganu 61.3 56.9

 

Jadual 3: Anggaran Kehilangan Pendapatan Tahunan disebabkan oleh NRW di antara Tahun 2008 dan 2013

Tahun 2008 2009 2010 2011 2012 2013

Anggaran Kehilangan Pendapatan

Tahunan disebabkan oleh NRW

RM (Billion)

1.624 1.632 1.786 1.848 1.915 2.003

 

Jadual 3 menunjukkan anggaran kehilangan pendapatan tahunan disebabkan oleh NRW di antara tahun 2008 dan 2013. Di antara tahun 2008 dan 2013, anggaran jumlah kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh NRW adalah RM 10.808 Billion. Anggaran kerugian kewangan yang disebabkan NRW telah melebihi 1/3 daripada pendapatan yang dikutip oleh industri perkhidmatan air setiap tahun. Jika mekanisme pulangan kos sepenuhnya dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan air, kehilangan pendapatan disebabkan oleh NRW juga dijangka meningkat seiring dengan kenaikan tarif air. Tambahan pula, perbelanjaan operasi (OPEX) dalam menghasilkan air terawat adalah disalurkan kepada tarif. Oleh itu, orang ramai dan perniagaan terpaksa membayar kos ketidakcekapan akibat NRW.

Pelan Tindakan Pengurangan NRW ini direka bentuk untuk memperinci sasaran pengurangan NRW bagi setiap negeri, spesifikasi teknikal, piawaian, mengenal pasti tahap NRW (kritikal, sub-kritikal dan tidak kritikal), obligasi kontrak (dengan penanda aras yang ketat) dan pembiayaan (dari Pengurusan Aset Air Berhad / PAAB). Malangnya, pasukan petugas ini gagal untuk bermesyuarat berdasarkan Terma Rujukan (TOR) yang ditetapkan untuk mengkaji semula status NRW secara berkala dan mencadangkan tindakan pembetulan yang perlu untuk mengurangkan NRW selanjutnya. Pemodelan anggaran kehilangan pendapatan disebabkan NRW oleh AWER adalah anggaran yang sangat konservatif; nilai ekonomi sebenar adalah sebenarnya lebih tinggi. Berikutan krisis air awal tahun ini dan kenaikan kos pembinaan serta infrastruktur perkhidmatan air, pengurangan NRW adalah satu langkah yang lebih BIJAK. Bank Dunia menetapkan kriteria NRW pada 25% untuk negara membangun dan 15% untuk negara maju. Ini adalah sebab utama AWER menetapkan 20% sebagai sasaran NRW kebangsaan bagi Malaysia pada tahun 2020.

AWER juga meramal krisis air berulang kerana kegagalan dalam perancangan dan pengurusan sumber air oleh pihak berkuasa; ini adalah sebab utama mengapa kami menegaskan bahawa pihak berkuasa mesti melaksanakan pengurangan NRW dengan sepenuhnya.

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008 dan undang-undang ini memberikan kuasa kepada SPAN untuk mengawal selia industri perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dari segi teknikal, ekonomi dan perkhidmatan. Tanggungjawab mengurangkan NRW adalah di bawah bidang kuasa operator air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi negeri-negeri yang telah bermigrasi ke rejim WSIA. Bagi negeri-negeri yang belum bermigrasi ke rejim WSIA (Terengganu, Kelantan, Pahang, Labuan dan Kedah), kerajaan negeri masih bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurangan NRW. Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak. Pengurangan NRW adalah tanggungjawab kedua-dua negeri ini kerana kedua-dua negeri ini tidak menyertai penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara di bawah WSIA. Kami menyeru Kabinet untuk memastikan SPAN menerajui pelaksanaan pengurangan NRW di mana Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ketat ditetapkan untuk kedua-dua industri perkhidmatan air dan SPAN. Pada masa yang sama, pengurangan NRW perlu dijadikan KPI penting bagi industri perkhidmatan air semasa proses penetapan tarif yang telus apabila permohonan semakan tarif air dilakukan. Negeri-negeri yang gagal untuk mencapai sasaran pengurangan NRW perlu didenda dengan penolakan atau pengurangan kuantum semakan tarif.

Ingat, setiap peratusan pengurangan NRW adalah air terawat tambahan untuk dibekalkan bagi menampung permintaan pengguna.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies