English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

SIARAN MEDIA: KELEWATAN TANJUNG BIN DAN JIMAH EAST: SUSAH SANGATKAH BAGI SURUHANJAYA TENAGA UNTUK MEMATUHI AKTA-AKTA SENDIRI?

SIARAN MEDIA-29 JANUARI 2015 (KHAMIS)

KELEWATAN TANJUNG BIN DAN JIMAH EAST: SUSAH SANGATKAH BAGI SURUHANJAYA TENAGA UNTUK MEMATUHI AKTA-AKTA SENDIRI?

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan isu mengenai kelewatan dalam menyiapkan pembinaan loji janakuasa Tanjung Bin dan Jimah East beberapa kali. Mengikut pemodelan AWER, kelewatan dalam menyiapkan loji janakuasa 1000MW Tanjung Bin akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM 321.97 juta untuk kelewatan selama 6 bulan dan untuk kos tambahan boleh mencecah RM 643.94 juta kelewatan selama setahun. Di samping itu, kelewatan selama 6 bulan bagi loji janakuasa 2000MW Jimah East akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM 643.94 juta jika ditanda aras dengan anggaran kos bahan api tambahan yang disebabkan oleh kelewatan Tanjung Bin. Untuk mengelakkan kos bahan api tambahan disalurkan kepada tarif elektrik, AWER telah mencadangkan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk membuat keputusan sebelum 23 Januari 2015 bagi memastikan Tanjung Bin menanggung semua kos tambahan dan telah memberikan 3 pilihan untuk kelewatan Jimah East. 3 pilihan tersebut adalah seperti berikut:
i. Pilihan 1: Batal penganugerahan loji janakuasa arang batu Jimah East kepada 1MDB dan laksanakan pembidaan kompetitif yang baru untuk pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT);
ii. Pilihan 2: Pastikan 1MDB menanggung semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Jimah East; dan
iii. Pilihan 3: Kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Jimah East dibayar oleh Kabinet dan pegawai-pegawai kementerian yang membenarkan pelanjutan.

Malangnya, Suruhanjaya Tenaga masih membisu dalam perkara ini sehingga kini. Mari kita lihat kepada realitinya:
i. Siapakah yang dilindungi oleh Suruhanjaya Tenaga apabila undang-undang meminta mereka melindungi pengguna?
ii. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga membisu dalam membuat keputusan (sama ada untuk membenarkan pelanjutan dan siapa akan tanggung kos tambahan) apabila mereka diberikan kuasa untuk bertindak?

AWER ingin memberikan maklumat tambahan mengenai isu kelewatan loji janakuasa ini kepada semua pihak supaya mereka dapat menghakimi isu ini dengan lebih tepat.

1. APAKAH YANG TELAH DITETAPKAN DALAM UNDANG-UNDANG?

Berikut adalah fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Tenaga oleh kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaaan 2001):

I. Akta Suruhanjaya Tenaga 2001
a. Seksyen 14(1)(b) - menasihati Menteri tentang segala perkara yang berhubungan dengan penjanaan, pengeluaran, penghantaran, pengagihan, pembekalan dan penggunaan elektrik sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang pembekalan elektrik;
b. Seksyen 14(1)(d) - melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang pembekalan tenaga;
c. Seksyen 14(1)(g) - menggalakkan kecekapan, keekonomian dan keselamatan dalam penjanaan, pengeluaran, penghantaran, pengagihan, pembekalan dan penggunaan elektrik dan dalam pembekalan gas melalui talian paip dan penggunaan gas yang dibekalkan melalui talian paip;
d. Seksyen 14(1)(m) - menjalankan apa-apa fungsi yang diberikan oleh atau dibawah undang-undang pembekalan tenaga;
e. Seksyen 14(1)(n) - mengkaji semula undang-undang pembekalan tenaga dan membuat syor yang perlu kepada Menteri; dan
f. Seksyen 14(1)(o) - menjalankan segala aktiviti yang didapati oleh Suruhanjaya dikehendaki, berfaedah atau mudah bagi maksud menjalankan atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi-fungsinya di bawah undang-undang pembekalan tenaga.

II. Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2001)
a. Seksyen 4(b) - untuk menjalankan fungsi pengawalseliaan berkenaan dengan perkhidmatan mengadakan elektrik oleh pemegang lesen termasuk menentukan standard prestasi dan standard kemudahan dan perkhidmatan dan penguatkuasaannya;
b. Seksyen 4(d) - untuk memajukan kepentingan pengguna elektrik yang dibekalkan oleh pemegang lesen berkenaan dengan -
(i). harga yang akan dikenakan dan syarat lain bagi bekalan elektrik;
(ii). keberterusan bekalan elektrik; dan
(iii). kualiti perkhidmatan bekalan elektrik yang disediakan;
c. Seksyen 4(e) - untuk memastikan bahawa segala tuntutan yang munasabah untuk elektrik dipenuhi;
d. Seksyen 4(f) - untuk memastikan bahawa pemegang lesen dapat membiayai penjalanan aktiviti yang dibenarkan oleh lesen mereka untuk dijalankan; dan
e. Seksyen 4(m) - untuk menjalankan segala aktiviti lain sebagaimana yang ternyata kepada Suruhanjaya adalah dikehendaki, berfaedah atau mudah bagi maksud menjalankan atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi dan tugasnya di bawah Akta ini.

Undang-undang telah menetapkan dengan jelas fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa Suruhanjaya Tenaga. Mengapakah ia begitu susah bagi Suruhanjaya Tenaga untuk bertindak mengikut peruntukkan undang-undang dalam menangani isu kelewatan loji janakuasa Tanjung Bin dan Jimah East? Apakah yang mengaburi keputusan mereka?

2. KELEWATAN MALAKOFF DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU TANJUNG BIN 1000 MW

Dalam operasi perniagaan yang biasa, seseorang kontraktor tertakluk kepada penalti bagi apa-apa kelewatan dan kontraknya boleh terbatal jika masalah tidak dapat diselesaikan. Sebarang kerugian yang disebabkan oleh kelewatan itu juga perlu ditanggung oleh kontraktor tersebut. Tambahan pula, kontraktor tersebut juga tidak akan memohon untuk mendapatkan tempoh lanjutan untuk mengelakkan diri daripada membayar penalti atau kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan itu. Berbanding dengan amalan perniagaan biasa, mengapakah Suruhanjaya Tenaga begitu lembab bagi memastikan Tanjung Bin menanggung semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan ini?

Di samping itu, berdasarkan permohonan pelanjutan oleh Tanjung Bin dan amalan perniagaan yang normal, adakah Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau kerajaan mempunyai pilihan untuk membatalkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) atau mengambil alih loji janakuasa 1000MW yang lewat ini jika masalah pembinaan masih tidak dapat diselesaikan?

3. KELEWATAN 1MDB DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU JIMAH EAST 2000 MW

Mengapakah 1MDB memohon pelanjutan selama 6 bulan dalam masa setahun selepas memenangi loji janakuasa Arang Batu Jimah East 2000MW? Adakah kelewatan ini disebabkan oleh masalah kewangan atau teknikal (penambakan tanah, pembinaan, dll)? Suruhanjaya Tenaga mesti mendedahkan sebab-sebab sebenar kelewatan dalam Jimah East. Ini kerana Seksyen 4(f) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah memberikan kuasa yang spesifik kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memastikan pemegang lesen mempunyai kemampuan untuk membiayai projek yang telah dianugerahkan kepadanya. Tambahan pula, Seksyen 4(d)(ii) dan 4(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah memberi mandat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memastikan jaminan bekalan elektrik tidak terjejas manakala Seksyen 4(d)(i) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah memberi mandat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk melindungi kepentingan pengguna dan tidak menyalurkan apa-apa kos tambahan kepada tarif elektrik dengan sewenang-wenangnya.

Secara amnya, jika pembida projek gagal untuk mendapatkan sumber kewangan dalam jangka masa yang ditetapkan bagi membiayai projek tersebut, penganugerahan projek ini boleh terbatal. Bagi projek loji janakuasa, jangka masa untuk  mendapatkan sumber kewangan bagi membiaya projek adalah sekitar 6 hingga 12 bulan selepas projek dianugerahkan. Berdasarkan Seksyan 4(f) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan amalan perniagaan yang normal, PPA mesti mempunyai klausa untuk melaksanakan pembatalan perjanjian jika pembida gagal untuk mendapatkan sumber kewangan dalam jangka masa yang ditetapkan bagi pembiayaan projek tersebut. Ini juga sehaluan dengan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga yang telah ditetapkan dalam Seksyen 4(b), (d) dan (e) Akta Bekalan Elektrik 1990 untuk memastikan jaminan bekalan elektrik tidak terjejas dan tiada kos tambahan disalurkan kepada tarif elektrik dengan sewenang-wenangnya akibat daripada pemegang lesen yang tidak kompeten.

Pilihan-pilihan untuk membatalkan penganugerahan loji janakuasa Jimah East kepada 1MDB dan melaksanakan bidaan kompetitif yang baru untuk pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) atau mendenda Jimah East untuk kelewatan dalam penyiapan loji janakuasa (termasuk mebayar semua kos-kos tambahan) adalah sehaluan dengan kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2001). Persoalanya, adakah Suruhanjaya Tenaga akan menguat kuasakan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya oleh kedua-dua akta tersebut atau meneruskan tabiat mereka sebagai sekumpulan burung kasawari (ostrich) yang "profesional"?

KESIMPULAN

Kerajaan telah berulang kali menegaskan bahawa PPA generasi baru lebih mesra pengguna tetapi tindakan pekak badak oleh Suruhanjaya Tenaga dalam mengenakan tindakan tegas ke atas kelewatan pembinaan loji janakuasa Tanjung Bin dan Jimah East ini menunjukkan sebaliknya. Isu berkaitan kelewatan Jimah East dan Tanjung Bin telah diketahui oleh Suruhanjaya Tenaga beberapa bulan yang lepas. Ia hanya membuktikan bahawa Suruhanjaya Tenaga telah gagal berulang kali untuk melaksanakan tugas-tugas yang diwajibkan oleh Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga tidak membuat keputusan yang melindungi kepentingan negara, sektor perniagaan dan pengguna? Siapakah yang akan mengambil tindakan ke atas Pengerusi, pesuruhjaya-pesuruhjaya dan pegawai-pegawai Suruhanjaya Tenaga yang telah gagal menjalankan tugas mereka yang diwajibkan dengan jelas oleh kedua-dua akta (Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik) yang telah diluluskan di Parlimen?

AWER berharap agar wakil-wakil rakyat menggunakan kuasa mereka untuk memastikan pesalah-pesalah diambil tindakan tegas dengan segera. Pihak kami juga mneyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Kabinet untuk mengambil tindakan tegas terhadap Suruhanjaya Tenaga yang telah gagal melindungi kepentingan negara, sektor perniagaan dan pengguna.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, sila tunaikan!


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies