English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

LOJI JANAKUASA TANJUNG BIN DAN JIMAH EAST: SURUHANJAYA TENAGA MESTI TELUS

SIARAN MEDIA - 2 APRIL 2015 (KHAMIS)

LOJI JANAKUASA TANJUNG BIN DAN JIMAH EAST: SURUHANJAYA TENAGA MESTI TELUS

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia telah mengutarakan isu-isu berkaitan dengan kedua-dua loji janakuasa Tanjung Bin dan Jimah East sejak suku keempat tahun 2014. Situasi kini semakin keruh disebabkan oleh putar belit Suruhanjaya Tenaga! Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen minggu lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah menyatakan beberapa sebab yang boleh menyebabkan berlakunya kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa dan kerajaan perlu mempertimbangkan semua faktor ini dalam proses membuat keputusan. AWER menolak penerangan sebegini kerana ia bukanlah tugas kerajaan untuk 'kowtow' kepada alasan-alasan lembik. Mana-mana pemilik projek perlu memastikan projek disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan sekirannya berlakunya kelewatan, mereka perlu menambah sumber dari segi kewangan, teknologi dan modal insan untuk memastikan projek disiapkan pada tempoh yang telah ditetapkan. Perjanjian yang telah ditandatangani tidak boleh diberikan pelanjutan!

1. PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU TANJUNG BIN 1000 MW

Minggu lepas, Malakoff telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada kelewatan bagi projek loji janakuasa arang batu Tanjung Bin dan apa-apa berita merujuk kepada kelewatan projek adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan semasa. Akan tetapi, berdasarkan dokumentasi di Suruhanjaya Tenaga, Malakoff telah memohon pelanjutan bagi loji janakuasa ini sejak suku ketiga tahun 2014 dan Suruhanjaya Tenaga telah menghantar surat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada awal tahun ini (2015) untuk mendapat pelanjutan bagi tarikh penyiapan loji janakuasa Tanjung Bin. Malakoff sepatutnya lebih tahu dengan tepat berapa banyak bulan yang disebut dalam surat itu. Sekarang, Malakoff telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada kelewatan bagi projek loji janakuasa arang batu Tanjung Bin tetapi perkembangan terbaru ini telah menimbulkan 2 persoalan seperti berikut:
i. Jika masalah pembinaan boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan, mengapakah Malakoff memohon untuk mendapatkan tempoh pelanjutan secara berterusan sehingga awal tahun ini?
ii. Adakah Suruhanjaya Tenaga gagal untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek ini dan akhirnya menghantar surat kepada TNB untuk mendapatkan pelanjutan?

Suruhanjaya Tenaga mesti menjawab kedua-dua persoalan di atas dengan segera. Suruhanjaya Tenaga mesti juga menyiasat, mengesahkan dan menjamin bahawa loji janakuasa 1000 MW Tanjung Bin telah menyelesaikan masalah pembinaannya dan tidak akan berlakunya sebarang kelewatan. Ini juga bermakna tidak ada keperluan untuk melanjutkan mana-mana loji janakuasa gas yang lama yang akan tamat operasi.

2. PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU JIMAH EAST 2000 MW

Jawapan bertulis Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada Parlimen minggu lepas dan pusingan-U dalam penjualan aset-aset tenaga 1MDB tidak mengubah cadangan-cadangan yang telah diberikan oleh AWER bagi mengelakkan kelewatan projek pembinaan Jimah East. Jika terdapat kelewatan bagi loji janakuasa ini selama 6 bulan, peningkatan sebanyak 1.33 sen/kWj dalam tarif elektrik purata boleh diperhatikan dan peningkatan ini adalah disebabkan oleh kos bahan api tambahan. Kos tambahan ini tidak termasuk caj kapasiti. Cadangan-cadangan AWER kepada Kerajaan Persekutuan adalah seperti berikut:

(i) Batalkan Jimah East dan Track 4B (CCGT 2000 MW di Melaka)

Berdasarkan laporan-laporan media, Jimah East mempunyai masa sehingga pertengahan April untuk memastikan sumber kewangan (financial close) dimuktamadkan. Suruhanjaya Tenaga adalah bertanggungjawab untuk memastikan jaminan bekalan elektrik dan menolak permintaan pelanjutan serta membatalkan penganugerahan Jimah East kepada 1MDB jika Jimah East gagal menepati keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close) pada pertengahan April seperti yang termaktub dalam Seksyen 4(f) Akta Bekalan Elektrik dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Pada masa itu, satu bidaan kompetitif bagi loji janakuasa turbin gas kitar bersepadu (CCGT) mesti dilaksanakan dan Notice to Proceed (NTP) boleh diberikan menjelang April 2016. CCGT mengambil masa di antara 32 hingga 36 bulan untuk disiapkan. Masa tambahan sebanyak 4 bulan menjadikan CCGT pilihan serta merta untuk mengganti loji janakuasa arang batu Jimah East.

Di samping itu, Track 4B (CCGT 2000 MW di Melaka) yang telah dianugerahkan kepada 1MDB secara rundingan terus pada akhir tahun 2014 juga mesti dibatalkan kerana ia telah melanggar kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. Suruhanjaya Tenaga mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan bidaan kompetitif bagi Track 4B kerana projek ini telah dianugerahkan 7 tahun lebih awal daripada tarikh penyiapan projek. Projek ini mesti dibatalkan dan ditukar kepada bidaan kompetitif 2000MW loji janakuasa arang batu yang boleh diumumkan pada pertengahan tahun 2015. Melalui kaedah ini, campuran tenaga (energy mix) dapat dikekalkan seperti yang dirancang.

(ii) Penjualan Ekuiti Jimah East - Pemilik Baru Perlu Mambayar Semua Kos Tambahan

Terdapat beberapa laporan media yang menyatakan bahawa Jimah East sedang mempertimbangkan penjualan ekuiti kepada entiti lain untuk mendapatkan sumber kewangan atau keluar terus dari projek loji janakuasa arang batu ini. Apapun cadangan yang dibuat, pemilik baru masih perlu membayar segala kos tambahan jika berlaku kelewatan dalam pembinaan Jimah East. Ini kerana pemilik baru mesti sudah melakukan 'cost benefit analysis' bagi projek ini sebelum membuat keputusan untuk membeli ekuitinya. Jimah East mempunyai PPA yang sah dan tarif purata 25.33 sen/kWj tidak boleh disemak semula untuk dinaikkan bagi pemilik yang baru. Walau bagaimanapun, AWER tiada halangan jika pemilik baru ingin menyemak semula tarif purata kepada nilai yang lebih rendah untuk memanfaatkan negara dan rakyat.

3. PELANJUTAN LOJI-LOJI JANAKUASA YANG LAMA DAN TIDAK CEKAP

Akhir-akhir ini, Suruhanjaya Tenaga telah memberi beberapa kenyataan kepada media bahawa pelanjutan loji-loji janakuasa lama adalah lebih kos efektif. Mari kita membedah siasat penipuan tulen ini!

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 9 Oktober 2012, tarif purata bagi loji janakuasa baru dan loji janakuasa yang lama yang dilanjutkan  PPA adalah seperti berikut:
 

No. Pembida yang berjaya Status loji

Tarif purata

(sen/kWj)

Tempoh Lanjutan

(tahun)

Kapasiti

(MegaWatt/MW)

1 Tenaga Nasional Bhd
(Loji Janakuasa TNB Prai)
Baru 34.7 - 1,071
2 Genting Sanyen Power
(IPP generasi pertama)
Lama 35.3 10 675
3 Segari Energy Ventures
(IPP generasi pertama)
Lama 36.3 10 1,303
4 TNB Pasir Gudang Lama 37.4 5 275

 

Maka, ia adalah jelas bahawa loji-loji janakuasa gas asli lama yang mempunyai kecekapan penjanaan yang lebih rendah (boleh serendah 30%) yang telah diberikan pelanjutan PPA oleh Suruhanjaya Tenaga mempunyai tarif purata yang lebih tinggi berbanding dengan loji janakuasa Prai TNB yang baru yang boleh mencapai kecekapan penjanaan sehingga 60%.

Di samping itu, berdasarkan tarif purata terkini, 36.80% adalah kos bahan api dan 29.74% adalah caj kapasiti. Maka, mengoperasi loji janakuasa baru yang cekap dalam penjanaan akan dapat menyalurkan penjimatan daripada kedua-dua kos bahan api dan caj kapasiti di mana ia akan membantu kita mencapai tarif elektrik yang lebih berpatutan. Malangyan, fakta-fakta ini (mengoperasi loji janakuasa baru yang cekap dalam penjanaan akan dapat menyalurkan penjimatan daripada kedua-dua kos bahan api dan caj kapasiti) telah diputarbelitkan oleh Suruhanjaya Tenaga dengan menyatakan bahawa mengoperasi loji-loji janakuasa gas asli lama dapat mengekalkan tarif elektrik yang berpatutan. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga memutarbelitkan fakta-fakta ini? Adakah Suruhanjaya Tenaga berasa seperti duduk dalam duri dan mengkhuatiri pemilik-pemilik loji-loji janakuasa lama akan kehilangan pendapatan yang lumayan?

Berdasarkan kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh Malakoff bahawa tidak akan ada kelewatan dalam penyiapan loji janakuasa Tanjung Bin dan penyelesaian-penyelesaian yang dicadangkan oleh AWER untuk Jimah East, Suruhanjaya Tenaga sudah tentu tidak perlu melanjutkan loji-loji janakuasa gas asli lama yang bakal tamat PPA. Kita semua boleh mengucap "sayonara" kepada loji-loji janakuasa gas asli lama ini dengan gembira!

Untuk makluman semua, semua kos tambahan dan kos tidak adil dalam tarif elektrik juga akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% mulai 1 April 2015. Ia hanya dikecualikan kepada pengguna domestik yang menggunakan tenaga elektrik bulanan kurang daripada 300 kWj (kilo.Watt.jam).

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies