English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

LOJI JANAKUASA JIMAH EAST: PENYELESAIAN DARIPADA AWER UNTUK MENGELAKKAN KOS TAMBAHAN KEPADA TARIF ELEKTRIK

SIARAN MEDIA - 22 APRIL 2015 (RABU)

LOJI JANAKUASA JIMAH EAST: PENYELESAIAN DARIPADA AWER UNTUK MENGELAKKAN KOS TAMBAHAN KEPADA TARIF ELEKTRIK

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah berulang kali mengutarakan isu-isu berkaitan dengan penganugerahan dan pembinaan loji-loji janakuasa. Kesemua isu-isu yang diutarakan telah terbukti kesahihannya sehingga kini. Tambahan pula, isu-isu yang diutarakan ini hanya membuktikan bahawa Suruhanjaya Tenaga telah gagal menjalankan tugas-tugas dan fungsi-fungsinya seperti yang termaktub dalam kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.

Jimah East (loji janakuasa arang batu 2000MW) perlu memuktamadkan sumber kewangan (financial close) pada pertengahan bulan April 2015. Adakah Jimah East telah memuktamadkan sumber kewangan? Suruhanjaya Tenaga tidak boleh buat pekak badak dalam isu ini kerana suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk memastikan jaminan bekalan elektrik dan menolak permintaan pelanjutan serta membatalkan penganugerahan Jimah East kepada 1MDB jika Jimah East gagal menepati keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan seperti yang termaktub dalam Seksyen 4(f) Akta Bekalan Elektrik dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

Terdapat juga beberapa laporan media menyatakan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengambil alih Jimah East. Pengambil alihan Jimah East masih berkemungkinan akan mengalami kelewatan dalam pembinaan kecuali pemilik baru (TNB atau entiti lain) melakukan keputusan luar biasa untuk membayar secara tunai bagi memenuhi keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan dengan segera. Jika kelewatan berlaku, siapa yang akan menanggung kos tambahan? AWER tidak bersetuju sama sekali apa-apa kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam mencapai Tarikh Operasi Komersil (Commercial Operation Date - COD) disalurkan kepada tarif elektrik.

Di samping itu, Suruhanjaya Tenaga tidak boleh membenarkan mana-mana entiti mengambil alih Jimah East dengan begitu sahaja kerana perbuatan ini adalah tidak adil kepada syarikat-syarikat penjanaan elektrik yang lain. Perbuatan ini juga akan menetapkan contoh yang negatif dalam sektor penjanaan elektrik. Bayangkan, selepas menang bidaan pembinaan loji janakuasa dan menggunakan Jimah East sebagai kes rujukan, Syarikat A jual ekuitinya kepada entiti lain begitu sahaja bagi mengaut keuntungan segera dengan alasan gagal memuktamadkan sumber kewangan. Isu sebegini pastinya akan memudaratkan jaminan bekalan elektrik dan menyebabkan kos tambahan disalurkan kepada tarif elektrik.

Kini, jika Jimah East gagal memuktamadkan sumber kewangan dan PPA dibatalkan, apakah alternatifnya untuk mengelakkan masalah jaminan bekalan elektrik dan kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam pembinaan disalurkan kepada tarif elektrik?

Bidaan kompetitif bagi loji janakuasa turbin gas kitar bersepadu (CCGT) 2 x 1000 MW mesti dilaksanakan pada Mei 2015 dan Notice to Proceed (NTP) boleh diberikan pada Mac 2016. CCGT mengambil masa di antara 32 hingga 36 bulan untuk disiapkan. Masa tambahan sebanyak 4 bulan menjadikan CCGT pilihan serta merta untuk mengganti loji janakuasa arang batu Jimah East. Suruhanjaya Tenaga boleh mempercepatkan proses bidaan kompetitif ini.

Di samping itu, Track 4B (CCGT 2000 MW di Melaka) yang telah dianugerahkan kepada 1MDB secara rundingan terus pada akhir tahun 2014 juga mesti dibatalkan dengan segera. Suruhanjaya Tenaga mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan bidaan kompetitif bagi Track 4B kerana projek ini telah dianugerahkan 7 tahun lebih awal daripada tarikh penyiapan projek. Projek ini mesti dibatalkan dan ditukar kepada bidaan kompetitif 2000MW loji janakuasa arang batu yang boleh diumumkan pada pertengahan tahun 2015. Melalui kaedah ini, campuran tenaga (energy mix) dapat dikekalkan seperti yang dirancang.

Penyelesaian yang dicadangkan oleh AWER ini dapat mengelakkan kos tambahan disalurkan kepada tarif elektrik. Penyelesaian ini juga akan memastikan integriti kerajaan dapat dipulihkan dan kepercayaan pelabur dapat dikekalkan. Maka, penyelesaian-penyelesaian seperti pengambil alihan Jimah East oleh entiti baru, penjualan ekuiti, meningkatan tarif purata dan pemberian pelanjutan langsung tidak perlu dilayan oleh kerajaan kerana tindakan-tindakan ini adalah bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. Malaysia mempunyai banyak syarikat yang berkemampuan untuk menyertai proses bidaan kompetitif ini. Sehingga kini, hanya proses bidaan kompetitif dapat membuktikan bahawa tarif purata (levelised tariff) yang lebih kompetitif dapat dicapai berbanding dengan kaedah rundingan terus yang lebih cenderung menyalurkan tarif purata yang lebih tinggi. Selain daripada itu, pada pertengahan 2014, kesatuan-kesatuan pekerja TNB telah menggesa kerajaan untuk melaksanakan bidaan kompetitif dan ia merupakan hala tuju yang betul untuk pembinaan loji-loji janakuasa yang baru. Dengan itu, AWER menyeru TNB, sebagai syarikat utiliti kebangsaan, untuk memimpin melalui teladan dan komited kepada proses bidaan kompetitif seperti yang dicadangkan oleh AWER dan kesatuan-kesatuan pekerja TNB sendiri.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies