English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Pegawai-pegawai KeTTHA 'Membutakan' Menteri dan Kabinet Mengenai Penstrukturan Semula Industri Air

SIARAN MEDIA
TARIKH: 10 SEPTEMBER 2012 (ISNIN)

PEGAWAI-PEGAWAI KeTTHA 'MEMBUTAKAN' MENTERI DAN KABINET MENGENAI PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk 'Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara - Hakikatnya' awal tahun 2011 dan telah menjalankan kajian dan penyelidikan lanjutan untuk memecahkan kebuntuan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor serta beberapa pelaksanaan salah yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Pelaksanaan-pelaksanaan yang salah ini menjejaskan proses mengwujudkan industri perkhidmatan air yang lebih telus, bersemangat dan bertanggungjawab dengan tarif yang berpatutan dan saksama di Malaysia seperti yang telah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-9 melalui pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006.

Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Perkhidmatan Air KeTTHA mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegelinciran pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara. Bersama-sama dengan dia, Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air), Setiausaha-setiausaha Bahagian Sektor Perkhidmatan Air dan Ketua-ketua Penolong Setiausaha mesti dikenakan tindakan tegas disebabkan semua pelaksanaan yang salah dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air serta mengganggu fungsi dan operasi SPAN.

1) 'BAILOUT' BON AIR SELANGOR

'Bailout' bon air Selangor yang telah DIATURKAN oleh pegawai-pegawai KeTTHA dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) tidak sepatutnya dilakukan. Pada 31 Mei 2011, sebuah syarikat tujuan khas (special purpose vehicle - SPV) telah ditubuhkan untuk tujuan ini dan telah berjaya ‘bailout’ 99.6% bon air Selangor berjumlah RM5.8 bilion. Walau bagaimanapun, langkah ini bercanggah dengan WSIA dan pelaksanaan yang salah ini telah membiarkan pemegang Perjanjian Konsesi bebas begitu sahaja (run scot-free).

Pertama sekali, PAAB tidak sepatutnya menubuhkan SPV kerana PAAB diberikan lesen dan dikawalselia oleh SPAN untuk menguruskan sumber kewangan bagi pembangunan infrastruktur-infrastruktur industri perkhidmatan air di bawah model WSIA. Menubuhkan sebuah SPV untuk menjalankan 'bailout' bon air hanya akan meningkatkan kos operasi PAAB di mana akhirnya kos tersebut akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui tariff. Pegawai-pegawai PAAB dibayar untuk menjalankan tugas mereka, BUKANNYA MENGUPAH ORANG LUAR (OUTSOURCING) untuk melakukan kerja mereka.

Di samping itu, AWER ingin memetik 'bailout' General Motor dan Chrysler oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasury) pada tahun 2009 sebagai contoh. US Treasury dan beberapa institusi yang lain telah mengambil kawalan kepentingan di syarikat-syarikat ini dalam proses 'bailout'. Langkah ini adalah untuk memastikan syarikat-syarikat ini tidak lingkup dan mencegah kehilangan pendapatan ramai pekerja. Walaupun langkah oleh KeTTHA dan PAAB telah dilihat sebagai langkah untuk mengelakkan kemerosotan keyakinan pasaran kewangan terhadap Malaysia, penyelesaian yang dilaksanakan oleh KeTTHA dan PAAB adalah bertentangan. Sekarang, ramai yang mempunyai kepentingan dalam isu ini akan mencabar AWER bahawa ia adalah satu penyelesaian Amerika dan bukan satu rujukan yang baik untuk Malaysia.

Ironiknya, Malaysia mempunyai satu contoh yang jelas untuk keadaan sebegini bagi sebuah syarikat yang juga di bawah industri perkhidmatan air. Indah Water Konsortium (IWK), sebuah syarikat swasta yang telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan pada 9 Disember 1993 untuk menguruskan perkhidmatan pembetungan 'bersambung'. Walau bagaimanapun, syarikat swasta ini tidak mampu menguruskan hutang dan memerlukan 'bailout' pada tahun 1999. Kerajaan Persekutuan telah 'bailout' IWK dan mengambil alih keseluruhan IWK. Ini adalah satu proses 'bailout' yang betul dan biasa diamalkan di seluruh dunia. Walaupun persoalan mungkin timbul bagi nilai 'bailout' dan hutang oleh IWK, Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih IWK semasa proses 'bailout' dan menghalangnya daripada lingkup.

Malangnya, dalam 'bailout' bon air Selangor, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil alih kepentingan dari mana-mana pemegang perjanjian konsesi yang bersamaan dengan jumlah 'bailout' (RM5.8 billion). Jika Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih kepentingan yang sama dengan nilai bailout bon, ia akan menjadi lebih mudah bagi Kerajaan Persekutuan untuk memecahkan kebuntuan dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor. Pada ketika ini, KeTTHA dan PAAB mungkin mempertikaikan bahawa ia adalah satu proses pembiayaan semula (refinancing) dan bukannya 'bailout'. Walau bagaimanapun, KeTTHA dan PAAB tidak boleh membiayai semula apa-apa hutang industri perkhidmatan air jika syarikat itu tidak menstruktur semula di bawah model WSIA. Oleh itu, adalah jelas bahawa ia adalah 'bailout' dan KeTTHA serta PAAB telah melakukan kesilapan serius dalam 'bailout' bon air ini.

Selain itu, apabila seorang rakyat membeli rumah dan tidak mempunyai aliran tunai yang cukup untuk membayar ansuran pinjaman beliau, rumahnya akan dilelong oleh pihak bank. Apabila pemilik baru telah membeli rumah ini, kita tidak pernah dengar bahawa pemilik baru membenarkan pemilik sebelumnya untuk memiliki rumah itu. Maka, bagaimana ia mungkin bagi pegawai-pegawai KeTTHA untuk membenarkan pemegang-pemegang perjanjian konsesi Selangor yang tidak mampu untuk membayar hutang mereka terus memiliki perniagaan selepas 'bailout'? Siapakah yang mereka patut lindungi? Rakyat atau pemegang perjanjian konsesi? Jika pegawai-pegawai KeTTHA ini berani mengatakan ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, mengapakah rakyat Malaysia perlu bekerja keras untuk membayar hutang mereka? Kita semua boleh memberitahu Kerajaan Persekutuan bahawa kita tidak mampu untuk membayar hutang kita dan memerlukan 'bailout'. Tambahan pula, seorang ahli perniagaan harus mengambil kira risiko politik sebagai risiko perniagaan dan mana-mana 'bailout' tidak boleh dilakukan dengan wang rakyat sewenang-wenangnya.

2) PENYELESAIAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR SELANGOR

Seksyen 191 (4) dan 191 (5) dalam WSIA menggariskan keperluan rundingan dan kuasa Menteri KeTTHA untuk menggunakan 'Kepentingan Negara' dalam proses penstrukturan semula. Istilah 'willing buyer willing seller' langsung tidak termaktub dalam WSIA. Berdasarkan Penyata Rasmi Dewan Rakyat (Hansard) DR.4.9.2006, Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan sebab-sebab IWK diambil alih dan ini boleh menjadi asas yang baik untuk menentukan 'Kepentingan Negara'. Ini turut diperjelaskan dengan lanjut oleh Seksyen 114 dalam WSIA. Apabila menteri telah membuat keputusan mengenai 'Kepentingan Negara', beliau perlu mengemukakannya kepada Kerajaan Persekutuan (Kabinet) untuk kelulusan seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 114 (3) dalam WSIA.

Untuk memastikan perkara ini lebih konkrit, AWER ingin mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan formula berikut dalam menentukan tahap 'Kepentingan Negara' dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor melalui model WSIA dan membatalkan pelaksanaan salah 'bailout' bon air di Selangor.

Formula yang dicadangkan oleh AWER:

Tahap Kepentingan Negara dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara=
Nilai Ekonomi Syarikat-syarikat Konsesi Air di Selangor
                        A + B + C + D + E

A = Greater KL (dalam nilai ekonomi)
B = Impak sosial (kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya)
C = Pelbagai kegiatan ekonomi yang lain di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
D = Impak sosial dan ekonomi disebabkan Krisis Air
E = Kos kelewatan dalam pembangunan infrastruktur perkhidmatan air
      (kos pembangunan masa depan)

Jika hasil pengiraan adalah lebih daripada 1, maka menteri boleh menentukan bahawa tahap kepentingan pemegang konsesi adalah tinggi. Walau bagaimanapun, keputusan akhir pasti tidak akan menjadi 1 atau lebih dari 1. Sebab utama WSIA digubal adalah untuk meningkatkan perkhidmatan air kepada rakyat dan perniagaan. Oleh itu, menteri KeTTHA mesti memerintahkan pegawai-pegawainya untuk menyempurnakan proses penstrukturan semula melalui model WSIA YANG BETUL dengan segera.

3) PEGAWAI-PEGAWAI KETTHA MENAFIKAN HAK RAKYAT UNTUK PROSES PENETAPAN TARIF YANG TELUS

Pelaksanaan WSIA adalah termasuk mekanisme penetapan tarif yang terperinci dan telus. Sebagai contoh, mekanisme penetapan tarif ini menghadkan kos kakitangan yang akan disalurkan kepada tarif melalui kaedah penanda aras (benchmarking). Satu pasukan perunding telah dilantik untuk menyediakan mekanisme ini dan SPAN telah kemukakannya kepada Menteri KeTTHA untuk tindakan. Maka, sepatutnya tidak ada apa-apa lagi kenaikan tarif tanpa mekanisme yang dijanjikan ini. Tarif yang saksama dan berpatutan adalah janji yang Kerajaan Persekutuan mesti tunaikan di bawah WSIA.

Malangnya, semasa proses penetapan tarif yang terakhir di antara tahun 2009 dan 2010, pegawai yang sama dari KeTTHA iaitu Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Perkhidmatan Air, juga telah campur tangan dalam fungsi SPAN dan menghalang rundingan awam untuk penetapan tarif. Dia TIDAK MEMBENARKAN SPAN untuk menjalankan penetapan tarif yang telus seperti yang digariskan dalam proses penstrukturan semula. Alasan yang diberikan olehnya adalah 'Kabinet' mesti meluluskannya dahulu. Akan tetapi, 'Kabinet' sentiasa diberikan taklimat tanpa butiran hujah yang jelas dan akhirnya perlu menanggung beban secara keseluruhan berdasarkan 'nasihat' yang disediakan oleh PEGAWAI-PEGAWAI YANG TIDAK KOMPETEN seperti ini.

SPAN telah ditubuhkan untuk melaksanakan mekanisme penetapan tarif yang telus dan sepatutnya tidak ada apa-apa pertikaian mengenainya. 'Kabinet' juga tidak perlu dibebani dengan proses ini. Adakah pegawai-pegawai Sektor Perkhidmatan Air begitu berkuasa sehingga mereka boleh menafikan hak rakyat, mengganggu fungsi SPAN dan 'membutakan' Kabinet?

4) RAKYAT TIDAK GEMBIRA, PERDANA MENTERI MESTI BERTINDAK

Model WSIA telah diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja. Kemudian, Akta WSIA 2006 dan Akta SPAN 2006 telah diluluskan oleh Parlimen dan Senat sebelum kedua-dua undang-undang ini disahkan oleh DYMM Yang Pertuan Agong. Sehingga hari ini, Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara telah lewat selama 1 tahun, 8 bulan dan 10 hari. Sedangkan kelewatan ini berterusan, pegawai-pegawai KeTTHA masih dibayar gaji penuh dan terus menjejaskan 'Kepentingan Negara' yang sebenar dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air termasuk semua pelaksanaan yang salah seperti yang telah disebutkan di atas.

Isnin lepas, YAB Perdana Menteri telah meminta pegawai-pegawai kerajaan untuk menggembirakan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, perbuatan-perbuatan yang salah oleh pegawai-pegawai KeTTHA ini telah menyebabkan rakyat TIDAK GEMBIRA dan MENDERITA.

Kelewatan dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor dan  secara keseluruhan di Malaysia memberi kesan langsung kepada orang ramai dan menghakis keyakinan pelabur serta menjejaskan rancangan yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) oleh Perdana Menteri untuk menerajui Malaysia menjadi satu negara yang maju dan pendapatan tinggi menjelang tahun 2020. AWER telah menulis banyak e-mel dan surat kepada KeTTHA berkaitan dengan isu-isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air. Malangnya, semua kebimbangan yang kami utarakan tidak dipedulikan. Sebagai contoh, pegawai-pegawai Sektor Perkhidmatan Air di KeTTHA telah campur tangan dalam pelaksanaan pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) oleh SPAN dan ini telah menyebabkan Malaysia kehilangan lebih daripada satu Bilion Ringgit setahun secara berterusan.

AWER menggesa YAB Perdana Menteri untuk merombak semula Sektor Perkhidmatan Air di KeTTHA dan membuang pegawai-pegawai yang tidak kompeten [Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air), Setiausaha Bahagian Kanan, Setiausaha-setiausaha Bahagian dan Ketua-ketua Penolong Setiausaha] dengan SEGERA. Tanggungjawab antara penggubal dasar dan pengawal selia (SPAN) yang jelas mesti diwujudkan. Sebarang gangguan di dalam fungsi SPAN mesti 'dihapuskan'. Malaysia tidak mampu menanggung akibat yang disebabkan oleh kegelinciran Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dan pegawai-pegawai KeTTHA sedang 'memaksa' Kabinet untuk membuat keputusan-keputusan yang menghala ke arah bencana dalam industri perkhidmatan air.

Di samping itu, kami menggesa kerajaan-kerajaan negeri Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah serta Labuan untuk menyempurnakan pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air melalui model WSIA menjelang akhir tahun ini. Sabah dan Sarawak juga mesti mempertimbangkan untuk menyertai model ini kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dalam jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, penstrukturan semula ini mesti dilakukan berdasarkan model WSIA yang sebenar dan bukannya berdasarkan permintaan setiap kerajaan negeri. Kerajaan-kerajaan negeri mesti mempunyai pemahaman yang jelas tentang liabiliti, aset dan model WSIA. Model WSIA tidak direka untuk manfaat industri air tetapi untuk memastikan tarif yang saksama dan pembangunan infrastruktur-infrastruktur perkhidmatan air yang pesat dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negara.

Semakin lama kerajaan negeri melewatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air, semakin tingginya beban kepada rakyat melalui tarif. Ia adalah semudah itu. Tanpa model WSIA, kerajaan negeri tidak akan dapat memperbaiki infrastruktur perkhidmatan air dan kualiti perkhidmatan secara berkesan.

Air adalah keperluan asas dan hak asasi manusia! Air adalah Kehidupan.


Piarapakaran  S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (1 Posted)

  1. Victor Koh


    2012-09-17
    Arrow Dear AWER, Why does the government still hire fools like this? They should fire them immediately. waste of public money only! Thanks.

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies