English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2022: KE ARAH DUNIA TOKSIK MENJELANG 2050

3 JUN 2021
SURAT KEPADA PENGARANG

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2022: KE ARAH DUNIA TOKSIK MENJELANG 2050

Setiap 5 Jun didedikasikan untuk alam sekitar kita. Tahun ini temanya adalah Hanya Satu Bumi. Tema ini menggambarkan kebenaran yang pahit bahawa tidak ada tempat lain yang boleh kita dapat perlindungan dan kita perlu bersedia untuk melindungi bumi yang satu ini. Adakah negara-negara di bumi ini bergerak ke arah itu? Penyelesaian global untuk perubahan iklim telah berada di sisi yang melampau dan gagal melihat kepada gambaran holistik kerana perubahan iklim hanyalah salah satu daripada isu-isu alam sekitar seperti penebangan hutan, pencemaran, kekurangan air dan sebagainya.

Bayangkan, jika sistem pendidikan kita hanya mengiktiraf pelajar yang cemerlang dalam matematik dan selebihnya dianggap tidak kompeten, ini bukan cara yang betul untuk mengukur keupayaan pelajar dan ia akan membawa kepada masalah modal insan yang serius pada tahun-tahun akan datang. Begitu juga, jika kelestarian dan penyelesaian untuk perubahan iklim hanya diukur melalui Potensi Pemanasan Global (Global Warming Potential - GWP), ia akan mendatangkan lebih kemudaratan kepada alam sekitar.

CABARAN DI HADAPAN

Pada tahun-tahun akan datang kita akan melihat lebih banyak penyelesaian peralihan (transition solution) membanjiri pasaran. Teknologi akan berkembang dan teknologi lama yang matang akan digantikan dengan teknologi baru yang sedang berkembang (evolve). Sebagai contoh, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan kajian mengenai produk lampu cekap tenaga dan membuat kesimpulan lebih sedekad lalu bahawa kerajaan tidak sepatutnya menjalankan sebarang kempen menggunakan wang pembayar cukai untuk mempromosikan Lampu Pendarfluor Kompak (CFL) kerana teknologi Diod Pemancar Cahaya (LED) akhirnya akan mengambil alih pasaran. Lampu LED yang kami hidupkan untuk ujian pada tahun 2011 masih beroperasi tanpa gagal. Walau bagaimanapun, produk LED yang lebih baru tidak bertahan walaupun setahun. Ini membawa kepada persoalan yang lebih besar tentang kualiti dan ketahanan sesuatu produk. Apabila produk elektronik rosak lebih cepat, ia akan meningkatkan penjanaan sisa elektronik (e-sisa). E-sisa adalah sisa terjadual dan berbahaya kepada alam sekitar.

Bagi sektor tenaga, gas asli akan terus memainkan peranan penting untuk menjadi rakan kongsi "mesra iklim" manakala pembinaan loji-loji Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) juga akan dipertingkatkan untuk mengisi jurang yang ditinggalkan kerana penghentian penggunaan secara berperingkat bahan api fosil seperti arang batu. Hidrogen adalah satu lagi bahan api yang akan membentuk masa depan dan ketersediaannya juga menggunakan sejumlah besar tenaga.

Di samping itu, pengembangan sektor perlombongan melalui pemusnahan modal semula jadi akan memacu lebih banyak rumah pintar, kenderaan elektrik, bateri dan banyak lagi. Slogan kabur seperti "perlombongan lestari" dan perlombongan bawah laut sudah membanjiri dan mempengaruhi pendapat untuk memenuhi keperluan sumber yang tinggi.

Pada penghujung peralihan, keadaan huru-hara ini juga akan menyaksikan penghentian penggunaan produk, perkhidmatan, perniagaan dan pekerjaan yang dikaitkan dengan GWP yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, semua ini datang dengan sejumlah besar risiko yang kita semua perlu hadapi untuk bergerak ke hadapan. Adakah segmen penduduk global yang lebih miskin bersedia untuk ini?

RISIKO GLOBAL YANG AKAN MEMUDARATKAN GOLONGAN KURANG MAMPU

Keterputus-putusan (Intermittency)
Memenuhi beban asas (base load) untuk permintaan tenaga adalah langkah penting dalam memastikan jaminan tenaga supaya ekonomi dapat berfungsi dengan lancar. Industri arang batu sudah pun dijadikan sektor yang semakin tenat dan membiayai loji janakuasa arang batu baharu bukanlah satu tugas yang mudah. Kerumitan (intricacy) permintaan dan bekalan sumber tenaga dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk campuran RE yang lebih tinggi dalam campuran bahan api, pasaran elektrik yang diliberalisasikan, permainan kartel oleh OPEC+ (Organisasi Negara Pengeksport Petroleum-OPEC dan bukan ahli), laluan peralihan yang tidak jelas kepada Sifar Bersih (Net Zero) dan sekarang perang Ukraine-Rusia. Kecondongan kecil mana-mana faktor ini akan menyebabkan harga tenaga mencecah paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan situasi ini juga telah membuktikan ketidakupayaan RE untuk mengisi jurang yang ditinggalkan oleh bahan api fosil. Oleh itu, faktor keterputus-putusan RE adalah risiko utama.

Kemusnahan modal semula jadi
Sifar Bersih adalah laluan di mana berlakunya penggantian dan penaiktarafan (retrofit) semua gajet, alatan industri dan kenderaan yang akan memerlukan sejumlah besar sumber dalam jangka masa yang singkat. Teknologi penyimpanan tenaga (energy storage) yang diterajui oleh teknologi bateri akan memainkan peranan yang sangat penting untuk merapatkan jurang yang ditinggalkan oleh penghentian penggunaan bahan api fosil secara berkala. Untuk memenuhi kemajuan teknologi sedemikian, sumber perlu dilombong dan ditukar kepada bahan berguna untuk memenuhi peningkatan permintaan. Perlombongan akan meninggalkan kemusnahan besar kepada hutan kita dan ekosistem lain dan cadangan untuk perlombongan bawah laut yang akan memusnahkan ekosistem laut dan kebolehpercayaan (reliability) hasil laut sudah pun mula berlaku. Penebangan hutan akan memberi impak yang besar kepada mitigasi dan adaptasi iklim kerana kekurangan air dan banjir memberi kesan ekonomi yang besar. Ini akan menjadi lebih teruk dengan isu jaminan makanan yang berlaku yang berkaitan dengan guna tanah.

Eksploitasi terhadap Negara Miskin
Zon perlombongan baru akan dibangunkan di negara yang lebih miskin untuk memenuhi permintaan negara yang lebih kaya berikutan penentangan kepada aktiviti perlombongan yang lebih kuat di negara maju dan negara yang lebih kaya. Disebabkan sasaran Sifar Bersih 2050 yang “membuta tuli”, permintaan kepada penyelesaian-penyelesaian teknologi akan melalui situasi kesendatan (bottle neck) mulai sekarang. Peningkatan permintaan akhirnya akan meningkatkan kos teknologi. Rantaian bekalan yang lancar juga penting dalam memastikan kos pengeluaran rendah. Peningkatan kos dalam peralihan dan teknologi Sifar Bersih akan menyebabkan negara-negara yang lebih miskin tertakluk kepada bekalan produk berkualiti rendah seperti yang telah kita lihat dengan jelas semasa penghentian secara berperingkat produk tidak cekap tenaga yang bermula lebih sedekad yang lalu.

Masa Depan yang Toksik
Lonjakan penjanaan e-sisa sudahpun berlaku. AWER telah menekankan isu ini dan mencadangkan pengurusan e-sisa holistik sedekad yang lalu. Fasa peralihan dan Sifar Bersih akan melipatgandakan penjanaan e-sisa dan bentuk sisa lain kerana lebih banyak operasi dan teknologi yang tidak mesra iklim akan dihentikan secara berperingkat. Kegagalan untuk mengurangkan peningkatan dalam penjanaan e-sisa akan membawa kepada kemungkinan pendedahan sisa ini kepada air dan menghasilkan larut lesap  (leachate) berbahaya yang boleh mencemari air dan rantaian makanan. Dalam jangka masa yang panjang, keadaan ini akan memburukkan lagi pembuangan sisa tersebut ke negara yang lebih miskin dan membangun dengan menyamar sebagai projek "kitar semula". Oleh itu, pelbagai jenis penyakit yang mirip dengan Minamata Disease mungkin merupakan norma baru selepas kejayaan Sifar Bersih 2050 yang tidak berakal (inanity).

BOLEHKAH SITUASI INI DIPERBAIKI?

Penilaian Kitaran Hayat (LCA)
Dengan menggunakan pendekatan LCA, perniagaan boleh menilai input sumber, penjanaan sisa, produk sampingan dan pelupusan sisa dalam kemudahan mereka secara holistik. Alternatif, pengoptimuman dan pemulihan sumber boleh dibangunkan melalui LCA dalam kemudahan yang sama dan ini dikenali sebagai pendekatan "pintu ke pintu" (gate to gate). Bergerak ke atas dan ke bawah rantaian bekalan, kita boleh menggabungkan banyak pendekatan "pintu ke pintu" daripada sumber kepada pelupusan akhir untuk membentuk pendekatan "buaian ke kubur" (cradle to grave). Akhirnya, Reka Bentuk untuk Alam Sekitar (Design for Environment - DfE), pemulihan sumber serta sisa kepada sumber boleh membantu mencipta penyelesaian "buaian ke buaian" (cradle to cradle). Penyelesaian "Buaian ke buaian" boleh mencipta kitaran dalam corak penggunaan kita yang kini dikenali sebagai ekonomi kitaran (circular economy).

Biarkan Sains Buktikan
Kita semua masih ingat semasa sekolah rendah kita telah diajar bahawa kemusnahan kepada hutan dan ekosistem semula jadi akan memberi kesan negatif dalam kata-kata yang sangat mudah. Namun, akhir-akhir ini kita lihat ada pegawai kerajaan yang mengemukakan teori baru bahawa pemusnahan hutan tidak menyebabkan masalah tertentu atau ia tidak dikaitkan dengan beberapa masalah. Saya amat percaya fakta sains sekolah rendah akan menjadi kebenaran mengatasi pembohongan tersebut. Begitu juga, GWP adalah fakta yang perlu kita ambil kira tetapi ia adalah tidak beretika untuk menggunakan GWP sahaja sebagai ukuran untuk menyelesaikan krisis perubahan iklim dan mengecilkan masalah alam sekitar global yang lain. Di peringkat global, data dan penilaian agregat mesti dilaksanakan (seperti proses LCA) untuk membangunkan pandangan holistik bagi penyelesaian yang akan datang. Ini akan membantu dalam mengenal pasti penyelesaian yang lebih boleh dipercayai dan lestari untuk mencapai sasaran Sifar Bersih yang juga akan menyumbang untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang lain.

Tambahan pula, percubaan untuk melayakkan tenaga nuklear sebagai tenaga hijau adalah salah secara saintifik kerana beberapa pemilik teknologi dan negara yang menyokong teknologi ini kini menggunakan "Teknologi Rendah Karbon" sebagai platform untuk melayakkan bukan sahaja nuklear tetapi juga gas asli sebagai tenaga hijau. Impak negatif sinaran radioaktif kepada persekitaran oleh sisa nuklear, bencana nuklear (cth. Fukushima Daiichi) dan proses penyahtauliahan (decommissioning) loji sebahagian besarnya tidak boleh diukur di bawah GWP. Oleh itu, pandangan holistik bagi teknologi dan kesan alam sekitar berdasarkan sains dan data adalah penting untuk memastikan entiti yang tidak bertanggungjawab tidak menyalahgunakan usaha memerangi perubahan iklim untuk kepentingan mereka di peringkat antarabangsa.

Hentikan Penipuan (Scam) Alam Sekitar
Fasa peralihan kepada Sifar Bersih adalah fasa yang sangat kritikal di mana banyak teknologi lama dan baru akan cuba melayakkan diri dan mendapat manfaat ekonomi daripada keadaan sedia ada. Tenaga Nuklear jelas cuba membuat kemunculan semula secara besar-besaran dengan menggunakan kata kunci "karbon rendah" yang disertakan dengan teknologi bahan api fosil seperti gas asli. Begitu juga, banyak teknologi atau penyelesaian akan cuba menggunakan penyelesaian pantas (quick fix) seperti perdagangan karbon (carbon trading) dan tangkapan dan penyimpanan karbon (carbon capture and storage - CCS).

KESIMPULAN

Sasaran Sifar Bersih hendaklah berdasarkan data yang lebih holistik berbanding dengan penggunaan GWP yang melampau. Di peringkat global, kita memerlukan kewarasan supaya para pemimpin dunia boleh sedar dan melihat gambaran holistik sebelum kerosakan yang tidak dapat dipulihkan berlaku kepada alam sekitar. Ikrar yang dibuat oleh negara maju untuk memastikan negara membangun dan negara miskin dapat menikmati layanan yang adil untuk mitigasi perubahan iklim dan risiko alam sekitar yang lain adalah ikrar yang dibuat dalam Paris Agreement. Mereka tidak seharusnya mengelak daripada janji-janji yang telah mereka buat dengan menggunakan penyelesaian "terikat" (“strings attached”) untuk mengikat negara-negara membangun dan lebih miskin. Perlu beringat, kita perlu bertindak pantas kerana kita ada Hanya Satu Bumi!



Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies